PARIT BUNTAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya merampas 1,324 unit bubu naga sepanjang tahun 2022 di perairan Kerian.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya'akup berkata, jumlah tersebut termasuk rampasan sebanyak 1,000 oleh Maritim Kuala Kurau menerusi Op Khas Bubu Naga pada November hingga penghujung Disember tahun lalu di kawasan Kuala Kurau dan Kuala Gula, di sini.
Katanya, operasi khas ini diadakan berikutan aduan diterima daripada komuniti nelayan setempat dan penggunaannya yang menyalahi undang-undang serta boleh memusnahkan ekosistem laut negara.
"Kesemua bubu naga yang dirampas akan melalui proses perundangan di mahkamah dan dilucut hak serta dimusnahkan melalui perintah mahkamah," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Pejabat Zon Maritim Kuala Kurau di sini pada Selasa.
Mohd Hambali berkata, pelbagai taktik digunakan pengusaha bubu naga untuk memastikan kegiatan mereka tidak dikesan antaranya menggunakan sistem kedudukan global (GPS) untuk menanda kedudukan bubu naga yang diletakkan ke dalam air selain menggunakan pelampung atau bendera sebagai penanda.
Jelasnya, bagaimana pun kegiatan tersebut tetap berjaya dihidu oleh Maritim Malaysia ketika melakukan rondaan di sekitar perairan berkenaan.
Menurutnya, kes disiasat di bawah seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah perikanan Malaysia.
Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini, sebanyak 717 unit bubu naga dengan anggaran nilai RM50,190 telah selesai melalui proses perundangan dan akan dilupuskan dalam masa terdekat.
"Maritim Malaysia mengingatkan kepada komuniti nelayan agar tidak menggunakan peralatan khususnya bubu naga demi memastikan kelestarian ekosistem marin perairan negara sentiasa terpelihara.
"Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun atau kedua- duanya sekali. Bot yang diusahakan untuk kegiatan bubu naga akan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai menyalurkan sebarang aduan, salah laku dan kecemasan yang berlaku di laut ke pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.