BATU PAHAT - Tidak sampai sebulan lagi untuk bersalin, seorang wanita yang sarat mengandung terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Sri Medan ekoran rumahnya di Kampung Pasir di sini dinaiki air, sejak tiga hari lalu.
Syahidatul Afiqah Kamarudin, 27, berkata, tindakan berpindah segera ke PPS selepas air naik pada sebelah petang dibuat kerana bimbang dengan keselamatan bayi dalam kandungannya.
Wanita yang hamil anak ketiga itu berkata, dia berpindah bersama suami Mohd Dzulqhairy Raihan Nordin, 25, dan dua orang anaknya berusia empat dan dua tahun.
"Syukur urusan berpindah ke PPS dipermudahkan walaupun ketika itu hujan. Saya harap banjir akan cepat surut dan pulang ke rumah seterusnya bersalin di hospital dengan selamat," katanya ketika ditemui pada Selasa.
Sementara itu, Fatihah Sapri, 28, yang mengandung enam bulan berdepan detik cemas apabila air mula memasuki rumahnya pada awal pagi Ahad, ketika bersiap untuk melakukan pemeriksaan kandungan di klinik kesihatan.
"Tidak sangka, ketika mengandung anak kedua, saya berpindah ke PPS disebabkan banjir. Saya berpindah PPS menaiki kereta bersama suami, anak, ibu dan ayah dari rumah kami di Kampung Parit Terus.
"Ini kali kedua saya berpindah ke PPS selepas kali pertama ketika berusia 12 tahun pada 2006. Syukur segalanya selamat dan ramai yang membantu saya di PPS termasuk dari klinik kesihatan," katanya.
Seramai 192 mangsa daripada 49 keluarga masih berlindung di PPS Dewan Orang Ramai Sri Medan yang dibuka sejak Sabtu lalu berikutan banjir yang melanda.
Mangsa banjir terdiri daripada penduduk Kampung Sri Pasir, Kampung Parit Simis, Kampung Parit Warijo, Kampung Parit Haji Ahmad, Kampung Parit Bangas, Kampung Parit Basri, Kampung Parit Jayus dan Kampung Sri Duyung.