SUBANG JAYA - Kerajaan memberi jaminan akan melaksanakan kesemua inisiatif di bawah program Payung Rahmah selewat-lewatnya Mac ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia merangkumi penyediaan bakul makanan, pakej barangan, menu dan kafe Rahmah.
"Semua inisiatif dalam (Payung) Rahmah akan dapat diselesaikan paling lewat akhir bulan Mac ini dan selepas itu akan menyusul pelancaran Bakul Rahmah (yang) akan sampai ke setiap rumah golongan miskin tegar, pada setiap bulan.
"Akan menyusul juga Pakej Barangan Rahmah (merangkumi) 12 jenis barangan asas yang boleh dibeli di bawah harga ditetapkan, (seterusnya) tunggu Kafe Rahmah di universiti tempatan sekitar Kuala Lumpur (dengan) menyediakan makanan tengah hari secara percuma serta sarapan dan makanan malam diskaun sehingga 50 peratus.
"Ini usaha kecil KPDN untuk menyantuni golongan miskin tegar, berpendapatan rendah dan tidak lupa kepada pelajar universiti yang datang dari kalangan ibu bapa kurang berkemampuan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Menu Rahmah Pasaraya Mydin pada Selasa.
Dalam pada itu, Salahuddin memaklumkan, hampir 15,000 premis makanan seluruh negara menyertai inisiatif Menu Rahmah yang diperkenalkan bulan lalu.
Namun jumlah itu katanya, tidak termasuk libat urus bersama pengusaha gerai dan restoran kaum Tiong Hua.
"Saya agak terkejut (kerana) pada awalnya hanya mengharapkan hidangan makan tengah hari atau malam yang terdiri daripada sepinggan nasi, ayam atau ikan dan sayur.
"Namun mereka lebih prihatin daripada yang dijangkakan (contohnya) Mydin yang menyediakan bukan hanya menu nasi tetapi mi goreng, kuetiau, rojak, roti john dan beberapa jenis menu lain yang dijual tidak lebih daripada RM5.
"Saya menghargai sumbangan para peniaga kerana sudi mengecilkan keuntungan dan tidak berkompromi dengan variasi menu yang disediakan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holding Bhd (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin turut memberi jaminan bahawa kesemua cawangan pasar raya itu akan menyediakan Menu Rahmah seperti yang disarankan.
"Kita akan jalankan inisiatif ini sekurang-kurangnya tiga bulan mengikut keadaan ekonomi semasa, namun berharap dapat dilaksanakan sampai bila-bila.
"Hari ini Mydin juga turut menyumbang 5,000 pek Menu Rahmah kepada 5,000 pelajar universiti tempatan daripada keluarga B40.
"Saya harap akan lebih ramai lagi pemilik premis makanan untuk bersama-sama berganding baju dengan kerajaan menjayakan aspirasi ini,” katanya.