Kurnia pangkat kehormat, seragam tentera kepada ahli politik, selebriti dihentikan

Iklan
Mohamad Sabu - Foto Sinar Harian/Sharifuddin Abdul Rahim
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kementerian Pertahanan menghentikan amalan pemberian dan pengurniaan pangkat kehormat dan pemakaian seragam tentera kepada ahli politik dan selebriti.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, langkah Kementerian Pertahanan ini telah mendapat sokongan Raja-raja dan Sultan Melayu yang menjadi penaung cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kementerian Pertahanan mengarahkan supaya amalan pengurniaan pangkat kehormat dan pemakaian seragam tentera di kalangan ahli politik dan selebriti dihentikan.

"Mereka (Raja-raja Melayu) mengalu-alukan tindakan ini kerana penganugerahan ini boleh disalahgunakan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohamad menegaskan, sekiranya orang awam berhasrat untuk memakai pangkat dan seragam ATM, mereka harus menyertai latihan ketenteraan melalui Rejimen Askar Wataniah bukannya dianugerahkan sewenang-wenangnya.

"Sekarang ini, kalau nak pakai pangkat dan sebagainya dikalangan orang awam boleh... tetapi mereka hendaklah menyertai latihan seperti melalui pasukan Wataniah.

"Hal ini bertujuan menghormati jasa serta pengorbanan tentera yang telah bersusah payah berkhidmat dan mengelakkan nilai pangkat dan gelaran pasukan itu direndahkan," katanya.