Fasiliti sukan terbuka tanpa mengira fahaman politik

Iklan
IPOH - Kerajaan Perak beri jaminan penggunaan setiap fasiliti sukan adalah terbuka kepada semua tanpa mengira fahaman politik.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan, Howard Lee Chuan How berkata, layanan sama rata diberikan termasuklah dalam sewaan gelanggang futsal demi menjaga keharmonian dan kemakmuran negeri.

"Kerajaan sekarang tiada masalah dari segi penggunaan, kita masih terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk menyewa gelanggang futsal tanpa kira politik.

"Kita ambil pelajaran daripada kegagalan kerajaan terdahulu untuk tidak mengulangi kesilapan sama," katanya menjawab soalan lisan dikemukakan Ahmad Saidi Mohamad Daud (Changkat Jering-BN) pada Persidangan Dewan Negeri Perak, hari ini.

Ahmad Saidi memohon penjelasan berhubung pengurusan gelanggang futsal Bukit Gantang yang sebelum ini di bawah pengurusan Kelab Futsal Bukit Gantang, namun telah diambil alih oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Howard Lee (Pasir Pinji-DAP) berkata, mengikut rekod Majlis Sukan Negeri Perak, persatuan berkenaan telah pun dibatalkan pendaftaran pada 2017.

Katanya, rekod juga tidak menemui sama ada terdapat perjanjian antara pejabat tanah atau mana-mana agensi kerajaan yang mempunyai perjanjian dengan Kelab Futsal Bukit Gantang untuk mengurus gelanggang ini.

"Buat masa ini kita tidak berhasrat untuk memberi tanggungjawab mengawal selia gelanggang itu kepada persatuan atau kelab futsal.

"Di bawah MPPK juga terdapat biro sukan dan belia yang boleh memantau, mereka tidak pernah menghalang untuk sesiapa menyewa gelanggang futsal ini... termasuk juga penyewaan daripada parti Pas," katanya.