Berkelakuan ganjil sebelum terjatuh dari tingkat 11

Iklan
Abdul Hadi dan Ruhayati menunjukkan gambar arwah anaknya, Muhammad Aizzuddin.

JOHOR BAHRU –"Aizzuddin, kau ni kenapa? Macam kena sampuk!”

Itu antara reaksi Ruhayati Rahmat, 56, ibu Muhammad Aizuddin Abdul Hadi, 11, selepas melihat kelakuan ganjil anaknya itu sebelum ditemui di atas bumbung tingkat satu Flat Larkin, dipercayai akibat terjatuh dari tingkat 11 Flat Larkin, di sini, pada Ahad.

Iklan
Iklan

Menurut Ruhayati, tingkah laku anaknya itu yang berlari keluar masuk bilik termasuk bilik air pada lewat petang Ahad lalu, ternyata agak ganjil kerana anaknya itu tidak pernah berkelakuan sedemikian sebelum ini.

Malah katanya, ketika ditegur, anaknya itu juga tidak ada berkata apa-apa melainkan terus berlari keluar masuk biliknya.

Iklan

"Saya bawa dia ke klinik untuk dapatkan MC (sijil sakit), dan bila balik, saya minta dia baring (berehat) di bilik.

"Tapi, bila dia bangun dekat maghrib dan dari bilik dia lari masuk bilik air, masuk bilik, masuk bilik air ulang-alik... dia tak ada cakap apa-apa pun masa tu,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya pada Selasa.

Iklan

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan Muhammad Aizuddin dilaporkan patah tangan kiri akibat terjatuh dari tingkat 11 flat berkenaan dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun, Muhammad Aizuddin menghembuskan nafas terakhir beberapa jam selepas itu ketika menerima rawatan di HSA.

Jenazah Allahyarham Muhammad Aizuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Mount Austin, di sini, pada Isnin.

Mohd Hairi (tengah) ketika melawat keluarga arwah di Flat Larkin pada Selasa.

Sementara itu, ADUN Larkin, Mohd Hairi Md Shah ketika berkunjung ke rumah Allahyarham berharap dapat bekerjasama dengan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam usaha menambah baik flat berkenaan.

Malah katanya, usaha penambahbaikan berkenaan bukan hanya melibatkan Flat Larkin, tetapi juga merangkumi rumah pangsa lain di sekitar Johor.

"Bagi saya penempatan (Flat Larkin) ini harus ditambah baik agar lebih selesa dengan keadaan infrastruktur yang lebih elok... lagi pun flat ini dah cecah 36 tahun.

"Disebabkan itu, diharapkan pihak KPKT yang mana Timbalan Menterinya juga merupakan Ahli Parlimen Johor Bahru, dapat bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Johor bagi melihat dan memantau perkara ini.

"Antaranya, bagi keseluruhan rumah pangsa seperti ini, bagi tingkat lima ke atas, perlulah disediakan pagar secara percuma... lagi pun kita tahu, rata-rata yang tinggal di rumah pangsa ini melibatkan golongan B40,” katanya.