MARANG - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK) Tebakang sanggup 'mengheret' beras menggunakan peralatan khas dari rumah ke rumah bagi membantu penduduk susah.
Setiausaha MPPK Tebakang, Mohd Zaki Deraman berkata, sumbangan beras diagih kepada 100 keluarga hasil infak orang perseorangan dan kenamaan menerusi dana kebajikan Pas Cawangan Tebakang.
Menurutnya, sejak 15 tahun lalu pelbagai program diadakan bagi membantu golongan susah di kampung berkenaan dan pihaknya terus konsisten membantu golongan itu menerusi dana dikumpulkan.
"Dalam program hari ini, kita agih bantuan beras selepas kita dapati wang dikumpulkan agak banyak. Jumlah penerima juga agak besar apabila 100 keluarga masing-masing menerima sekampit beras.
"Program ini adalah program rutin lebih sedekad, sekitar 15 tahun lalu. Sekiranya adanya sumbangan kita terus agihkan. Selain beras kita juga agihkan barang keperluan dan beri wang tunai," katanya di sini, hari ini.
Mohd Zaki berkata, pihaknya juga sentiasa membuat lawatan dari rumah ke rumah untuk mengetahui perkembangan penduduk terutama yang kurang berkemampuan.
"Ada yang berpendapatan kecil mempunyai anak ramai masih bersekolah, ada ibu tunggal bekerja untuk tanggung anak dan ada yang tak bekerja tetapi menyara anak OKU serta anak yatim.
"Kesemua mereka ini akan dibantu walaupun masing-masing sudah menerima bantuan bulanan dan zakat dalam usaha mengurangkan beban yang mereka tanggung," katanya.
Menurutnya, selain program sedemikian, pihaknya juga meneruskan bantuan bencana, pendidikan, kesihatan serta bantuan lain melalui sumbangan dikumpulkan dan dari sumbangan kerajaan negeri.