SHAH ALAM - UMNO hari ini memberi penjelasan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung usul tambahan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 untuk jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau bersama tiga individu lain telah menemui Ketua Pengarah RoS, Mohd Nawardi Saad dan timbalannya, di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya pada jam 11.30 pagi dengan membawa dokumen yang disediakan peguam.
"Pertemuan pagi tadi adalah bagi memberi penjelasan bahawa tidak ada pelanggaran peraturan mesyuarat ataupun perlembagaan UMNO dengan majoriti lebih 90 peratus perwakilan hadir bersetuju kepada usul nombor lapan iaitu jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan kali ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Dialog Belanjawan 2023 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Ahmad berkata, pertemuan itu dibuat susulan tindakan dua ahli UMNO pada 20 Januari lalu menghantar aduan kepada RoS agar semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan semasa PAU 2022 berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.
Katanya, pihaknya akan menyerahkan dokumen tambahan kepada RoS pada Khamis ini untuk diteliti lanjut dan berharap RoS dapat memberi jawapan atau keputusan berhubung isu tersebut secepat mungkin menjelang pemilihan parti yang bakal bermula esok.
Media sebelum ini melaporkan aduan berhubung dua jawatan yang tidak dipertandingkan itu dikemukakan oleh ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom, yang berharap RoS dapat menentukan sekiranya terdapat pertikaian terhadap usul tambahan yang dibawa pada Perhimpunan Agung UMNO 2022.
Majoriti perwakilan yang hadir pada perhimpunan itu menyatakan sokongan terhadap usul tambahan dicadangkan wakil UMNO Negeri Sembilan, Mohd Shukri Shamsudin agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO akan datang. - Bernama