Lebih 1.5 juta hilang tempat tinggal sejak rampasan kuasa

Iklan
Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata ke atas para penunjuk perasaan antirampasan kuasa tentera di Mandalay. - Foto fail AFP

ANKARA - Lebih 1.5 juta penduduk hilang tempat tinggal dalam tempoh beberapa tahun lepas di Myanmar dengan lebih lima juta kanak-kanak sangat memerlukan bantuan kemanusiaan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa, sehari sebelum ulang tahun kedua rampasan kuasa tentera di negara itu.

Pada 1 Februari 2021, kerajaan Aung San Suu Kyi digulingkan dalam rampasan kuasa tentera selepas Parti Liga Demokrasi Kebangsaan memenangi pilihan raya kebangsaan pada November 2020.

Iklan
Iklan

Menurut UNICEF, jumlah orang yang hilang tempat tinggal meningkat kepada lebih 1.5 juta dalam tempoh dua tahun lalu.

"Lebih 1.5 juta orang di Myanmar hilang tempat tinggal dengan kanak-kanak terpaksa meninggalkan rumah dan komuniti mereka," lapor Agensi Anadolu memetik ciapan UNICEF.

Iklan

Walaupun mendapat bantahan daripada masyarakat antarabangsa dan kumpulan hak asasi manusia, penduduk tempatan terpaksa melarikan diri di beberapa kawasan ekoran operasi rejim junta yang berterusan.

Minggu lepas, kira-kira 20,000 orang awam hilang tempat tinggal di negeri Karen semasa pertempuran antara pasukan penentang tempatan dan tentera berhampiran Perbandaran Kawkareik, lapor akhbar tempatan Myanmar Now.

Iklan

Menurut laporan PBB baru-baru ini, sekurang-kurangnya 2,890 orang kehilangan nyawa mereka di tangan tentera dan puak yang bersubahat, manakala 767 ditahan pada peringkat awal sejak tentera mengambil alih kuasa.

Amnesty International dalam laporannya November lalu menyatakan jumlah orang yang dipindahkan melebihi 1.4 juta manakala 12,839 lagi ditahan.

"Sekurang-kurangnya 73 menunggu hukuman mati dan 7.8 juta kanak-kanak tidak bersekolah. Tentera Myanmar membunuh beratus-ratus penunjuk perasaan dan orang ramai dan beribu-ribu lagi mati akibat konflik bersenjata di seluruh negara sejak rampasan kuasa," menurut kumpulan hak asasi itu.

Bekas Pelapor Khas PBB mengenai Myanmar, Yanghee Lee berkata, tidak ada cara lain untuk membawa kestabilan kepada Myanmar kecuali merealisasikan kehendak rakyat dan aspirasi yang telah lama dipegang untuk demokrasi persekutuan yang tulen oleh junta tentera.

"Rakyat Myanmar enggan menerima rampasan kuasa. Mereka terus menolaknya. Penentangan bersenjata dan tanpa kekerasan terhadap pemerintahan tentera telah bertapak di hampir setiap negeri dan wilayah negara," katanya.

Minggu lepas dalam usaha untuk menangkis tekanan dan kritikan antarabangsa, tentera berjanji menngadakan pilihan raya baharu pada Ogos.

Tentera bagaimanapun mengumumkan beberapa peraturan ketat ke atas parti politik yang melarang calon daripada mempunyai hubungan dengan pasukan yang menentang junta.

''Tanpa mengenakan syarat yang membenarkan rakyat Myanmar menggunakan hak politik mereka secara bebas, pilihan raya yang dicadangkan itu berisiko memburukkan lagi ketidakstabilan,'' kata jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, Stephane Dujarric dalam satu kenyataan. - Bernama