‘Macam orang buta bersilat’

Iklan
Laporan Sukan Sinar Isnin dan Selasa lalu.

PEMAIN perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia, boleh diibaratkan seperti orang buta bersilat sekiranya mengekalkan pendirian untuk tidak mempunyai jurulatih selepas tampil hambar tiga aksi permulaan musim 2023.

Malah menurut pemerhati sukan tanah air, Mohd Sadek Mustafa, sekiranya kemerosotan prestasi yang melanda Zii Jia dibiarkan berterusan, dibimbangi pemain nombor empat dunia tersebut akan terus tenggelam dalam kalangan pesaing lain.

Iklan
Iklan

"Apa yang saya lihat pada ketika ini Zii Jia masih belum settle mindset kerana masih percaya dia pemain terhebat di Malaysia.

"Bukan hendak beri tekanan sebaliknya Zii Jia perlu mengakui hakikat masa tidak menyebelahi dia walaupun merasakan dirinya muda, namun sebenarnya dia perlu segera matang seterusnya memperkemaskan semula misi dan objektifnya sebagai pemain professional sepenuh masa,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Iklan

Sukan Sinar pada Selasa melaporkan bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj menasihati Zii Jia untuk segera mengambil jurulatih berikutan kemerosotan prestasi dalam tiga kejuaraan awal tahun ini.

Sebelum itu bekas pemain badminton nombor satu dunia, Roslin Hashim bersedia untuk menjadi jurulatih Zii Jia jika pemain tersebut memerlukan khidmatnya.

Iklan

Zii Jia memulakan kempen 2023 dengan rentak sumbang selepas kecundang pada pusingan pertama Terbuka Malaysia; Terbuka India (pusingan kedua) dan Masters Indonesia (pusingan kedua).

Tambah Sadek lagi, pemain berusia 24 tahun itu tidak hanya memerlukan pasukan kejurulatihan, tetapi juga satu pasukan pengurusan yang akan dapat membantu mengembangkan kariernya pada masa depan.

"Pendek kata, Zii Jia perlu mempunyai team management dan team latihan, ini bukan perkara yang mudah sebab itu kita dapat lihat bagaimana Viktor Axelsen sentiasa dahagakan kemenangan dalam setiap kejohanan supaya dapat menarik lebih banyak penaja bagi membolehkan dia berlatih dalam keadaan selesa.

"Jadi untuk ini Zii Jia kena buat swot analysis dan smart analysis, bagi tempoh enam bulan setidak-tidaknya persediaan ke Sukan Olimpik 2024.

"Paling penting mereka ini perlu memiliki pengalaman dalam industri bagi membolehkan Zii Jia pergi lebih jauh untuk peringkat seterusnya.

"Apabila bergerak secara professional ini antara cabaran perlu dihadapi Zii Jia, situasi ini amat berlainan jika dibandingkan semasa era Datuk Lee Chong Wei yang bernaung di bawah BAM,” katanya.