Pengguna mengeluh caj parkir mahal

Iklan
Kawasan parkir di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. - Gambar kecil: Khadijah Hanani (kiri), Abu Hurairah, Muhamad Haziq, Azrun dan Marimuthu (kanan).

KEMUDAHAN parkir awam yang dikendalikan oleh pengendali swasta bagaikan menjerut leher warga kota.

Ini kerana caj yang dikenakan amat tinggi dan tidak masuk akal.

Iklan
Iklan

Caj tanpa kawalan menjadi punca pengendali parkir meletakkan harga sesuka hati.

Solusi perlu dicari bagi menyelaras semua caj parkir agar tidak membebankan pengguna.

Iklan

Wartawan Sinar Harian, Izwan Rozlin menyelami keluhan warga kota mengeluh kerana caj parkir di sekitar bandar raya ini disifatkan terlalu tinggi dan membebankan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati keadaan itu menyebabkan mereka yang memandu kereta ke tempat kerja berada dalam dilema kerana perlu mengeluarkan kos yang besar setiap bulan hanya untuk membayar parkir.

Iklan

Bagi pekerja swasta, Khadijah Hanani, 24, berkata, caj parkir yang terlalu tinggi amat menyusahkan dan tidak munasabah.

"Caj RM5 setiap setengah jam itu bagi saya melampau kerana Kuala Lumpur bukan kawasan terpencil tetapi sebuah bandar raya, jadi tidak logik bayaran sebegitu mahal dikenakan kerana kawasan itu akan dikunjungi orang setiap masa,” luahnya.

Menurut Khadijah, dia terpaksa berbelanja sehingga RM20 sehari semata-mata untuk membayar caj parkir dan ia cukup memeritkan dan membazir.

Bagi penghantar barang, Abu Hurairah Adam, 25, mengakui caj parkir yang mahal menyebabkan dia memilih menggunakan motosikal untuk menyelesaikan tugasan pejabatnya.

"Tapi bila hujan memang terpaksa guna kereta, bayangkan nak parkir tak sampai 15 minit dah dikenakan bayaran RM6 hingga RM7, memang tak berbaloi langsung.

"Sepatutnya parkir bawah 15 minit bagilah percuma, ini tak, selagi boleh caj, dia caj mahal-mahal,” kata Abu Hurairah.

Sementara itu, Muhamad Haziq Zuhaimi, 30, memberitahu, dahulu caj parkir di kawasan Kuala Lumpur tidaklah semahal sekarang.

"Bayangkan, 10 tahun lalu bayaran parkir sekitar RM2 hingga RM5 sekali masuk, sepatutnya bayaran harus dikenakan mengikut tempoh berapa lama perkhidmatan parkir digunakan.

"Kami hanya rakyat biasa makan gaji, kalau dah suku gaji habis bayar parkir, siapa yang kaya?” katanya dalam nada sinis.

Tambahnya, lebih sakit hati apabila pengendali parkir syarikat swasta juga dilihat mengaut keuntungan besar setiap musim perayaan dengan menggandakan bayaran parkir.

Bagi pekerja bank, Azrun Mohd Ali, 39, dia memilih untuk menggunakan parkir yang disediakan majikan kerana ternyata ia lebih selamat.

"Syarikat memang ada sediakan parkir, perkara penting adalah keselamatan kerana jika bayar parkir mahal tapi keselamatan tak terjamin juga membahayakan, sebab kawasan bandar ramai penjenayah,” ujarnya yang pernah menyaksikan seorang wanita diragut ketika hendak pulang dari tempat kerja.

"Macam kawasan parkir yang terletak di tempat sunyi, mereka (penjaga) bila dah petang terus ‘cabut’ balik rumah tinggalkan kereta pelanggan begitu sahaja.

"Kawasan parkir sepatutnya diawasi selagi kereta pelanggan belum habis keluar,” katanya.

PBT perlu ambil alih parkir elak caj tinggi

Sementara itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil alih tapak parkir yang dikendalikan syarikat swasta bagi menyelaras semula caj yang dikenakan kepada pengguna.

Presiden FOMCA, Profesor Datuk Dr N Marimuthu berkata, langkah itu perlu bagi memastikan orang ramai tidak terbeban dengan caj yang begitu tinggi.

Sebuah parkir berbayar di Jalan Bunus, Kuala Lumpur.

"Kerajaan Pusat dan negeri perlu melakukan sesuatu untuk memastikan caj parkir yang dikenakan dikawal.

"Isu ini sudah lama disuarakan tetapi mengapa sehingga kini masih tidak diberi perhatian yang sewajarnya.

"Pengguna bayar cukai kepada PBT, apa salahnya jika PBT ambil alih parkir-parkir swasta ini dan kenakan harga yang murah,” katanya.

Marimuthu turut menyarankan agar setiap bangunan perumahan, pejabat dan kawasan komersial yang bakal dibina menyediakan ruang parkir secukupnya.

"Perancangan pembangunan pada masa akan datang juga harus mengambil kira kawasan parkir untuk kegunaan awam.

"Jika tidak, ia akan menyusahkan dan pihak tertentu akan mengaut keuntungan di atas kesusahan orang lain,” jelasnya.

Marimuthu juga berharap agar sistem pengangkutan awam dapat diperkasakan bagi membolehkan orang ramai ke pejabat menggunakan pengangkutan awam sepenuhnya.

"Perkara ini juga membantu mengurangkan penggunaan kenderaan sekali gus meringankan beban warga kota di zaman yang segala-galanya perlukan duit,” ujarnya.