Contohi peniaga Siam tarik pelanggan

Iklan
Pengusaha restoran di Malaysia wajar menjadikan kelebihan peniaga di Thailand sebagai panduan untuk melakukan penambahbaikan bukan sahaja dalam aspek juadah yang disajikan bahkan juga layanan mesra kepada pelanggan. - Foto hiasan 123rf

GENDANG gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati. Itu antara pantun yang cukup sinonim apabila kita bercakap tentang makan terutamanya apabila hidangan itu bukan sahaja memenuhi cita rasa bahkan harganya juga cukup murah.

Bila bercakap tentang makan, sememangnya penulis sendiri akui kita tidak boleh lari dengan juadah hidangan masakan panas dari negara Gajah Putih, Thailand terutamanya sup yang pedas dan masam, tom yam.

Iklan
Iklan

Begitu pun penulis bukannya ingin mengupas tentang masakan keluarga Diraja Thailand yang bermula sejak sebelum kurun ke-19 itu tetapi mengenai keterujaan rakyat Malaysia menjamu selera di negara jiran khususnya mereka yang tinggal berdekatan sempadan Siam.

Apatah lagi apabila Timbalan Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT), Tanes Petsuwan mendedahkan bahawa pelancong Malaysia membelanjakan kira-kira RM600 juta untuk makan dan minum sahaja sepanjang tahun lalu.

Iklan

Malah menurutnya, setiap pelancong dikatakan membelanjakan sekurang-kurangnya RM655 sehari sepanjang percutian mereka di Thailand.

Jelas pengaliran wang keluar ke Thailand itu boleh disifatkan sebagai satu kerugian buat negara lebih-lebih lagi negara kita sebenarnya memerlukan kedatangan pelancong untuk meningkat kembali ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.

Iklan

Walaupun rata-rata mereka yang suka berbelanja dengan menjamu selera di negara jiran itu menyifatkan hidangan di sana lebih enak selain ada yang mengatakan harganya lebih murah bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipandang ringan khususnya buat pengusaha restoran di Malaysia.

Bukannya tidak ada restoran yang menyediakan hidangan sebegitu dengan keenakan yang setanding di Siam tetapi apa yang penulis boleh katakan berdasarkan pengalaman melancong ke sana sebelum ini adalah layanan yang diberikan sebaik kaki melangkah masuk ke ruang makan mereka.

Kalau di sini, kita sering kali mendengar rungutan pelanggan terhadap layanan yang diberikan apabila ada yang terpaksa menunggu sehingga 15 minit untuk membuat pesanan dan ini antara kekurangan perlu diperbaiki pengusaha-pengusaha restoran di negara kita.

Itu belum lagi bercerita tentang masakan yang diterima di meja makan, bukan sahaja bahan-bahan utamanya sedikit malah rasanya juga tidak seperti gambar yang terpampang cantik di menu ibarat indah khabar dari rupa.

Kadang-kadang boleh putus selera ditambah pula dengan layanan ala kadar seolah-olah kita memaksa mereka memasak untuk dimakan, walaupun hakikatnya kita perlu membayar setiap pesanan dibuat.

Malah ada juga restoran yang viral di media sosial dek kerana layanan yang tidak mesra dan harga yang tak masuk akal.

Meskipun ada yang menganggap trend makan di sempadan Siam itu hanyalah bersifat sementara namun senario ini perlu dipandang serius khususnya pengusaha tempatan kerana pengaliran wang dalam sektor makanan bukanlah sedikit dan meruikan peniaga-peniaga tempatan.

Justeru, pengusaha restoran di Malaysia wajar menjadikan kelebihan peniaga di Thailand sebagai panduan untuk melakukan penambahbaikan bukan sahaja dalam aspek juadah yang disajikan bahkan juga layanan mesra kepada pelanggan.

Penulis percaya ia bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan memandangkan segala bahan asas mahupun rempah ratus yang digunakan itu juga mudah diperoleh selain sikap dan budaya masyarakat kita sendiri yang ramah mampu menarik kembali pelanggan tempatan mahu pun luar untuk menjamu selera.

Pihak berwajib juga seharusnya memainkan peranan dalam mempromosikan juadah tempatan sebagaimana yang dilakukan Thailand yang sering kali melakukan promosi makanan mereka di Malaysia.

Sebaliknya kita pula perlu menunggu setiap kali Ramadan untuk menikmati pelbagai juadah tradisi dari setiap negeri yang kebiasaannya disajikan di hotel-hotel mahupun restoran mewah.

*Zubir Sulaiman ialah Editor Pengisian Sinar Harian