KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, orang Melayu sudah punyai alternatif lain sebagai sandaran untuk pembelaan bangsa dan agama.
Katanya, mereka tidak lagi menganggap bahawa isu tersebut tak akan dibela tanpa ada UMNO dan orang Melayu sudah mencari wadah lain yang boleh memperjuangkannya.
Kerana itu beliau tetap menegaskan bahawa untuk UMNO kekal relevan, parti itu harus membuka pertandingan di setiap peringkat terutamanya jawatan Presiden.
"Sedangkan orang Melayu sekarang ini pun kata"alah kalian pun tak berani nak adakan pemilihan untuk Presiden dan Timbalan Presiden, tak berani nak bawa perubahan, tak berani nak beri hak kepada ahli untuk memilih pemimpin, apa perubahan yang kalian katakan?”
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak merajuk dengan UMNO walaupun parti yang disayanginya itu telah menyingkirkannya.
Jelas Khairy, rakan-rakannya masih berada di dalam Majlis Tertinggi parti itu malah ramai dalam kalangan mereka mempertahankannya dan bersuara tidak setuju dengan pemecatan beliau.
"Tapi itu prerogatif Presiden lah,” katanya dalam program Agenda Awani pada Selasa. - Awani