PUTRAJAYA - Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas akibat kejadian gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang melanda barat laut Iran berhampiran bandar Khoy (780 kilometer dari utara Tehran) pada Sabtu (28 Januari).
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Tehran sedang memantau dengan teliti perkembangan gempa bumi yang mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang manakala lebih 800 lagi cedera.
Iklan
Iklan
"Malaysia merakamkan simpati dan takziah kepada mangsa dan keluarga mereka yang terjejas akibat gempa bumi, serta kepada kerajaan dan rakyat Iran," menurut kenyataan itu.
Gempa susulan dijangka berlaku dan rakyat Malaysia di Iran dinasihatkan untuk terus berwaspada serta mengikuti perkembangan terkini dan panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, gempa bumi berintensiti tinggi dan sederhana telah melanda wilayah di selatan dan utara Iran, menurut laporan media.
Gempa bumi paling dahsyat melanda negara itu berlaku pada 2013 apabila sekurang-kurangnya 34,000 orang maut di bandar Bam di tenggara wilayah Kerman. - Bernama
Artikel Berkaitan