Empat ditahan terlibat jenayah samun, menyamar polis

Iklan
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat (kanan) menunjukkan topi dan vest yang mempunyai lambang polis yang dipercayai digunakan suspek bagi memperdaya mangsa sebelum disamun.

SHAH ALAM - Empat individu ditahan dipercayai terlibat jenayah samun dengan menyamar sebagai pegawai polis.

Polis turut merampas senjata angin selain vest serta topi dengan lambang polis serta kad kuasa polis palsu dan barangan hasil samun termasuklah puluhan batu permata yang keseluruhannya berjumlah sekitar RM100,000.

Iklan
Iklan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, penahanan suspek susulan daripada satu kes samun di laluan pejalan kaki di MRT Kota Damansara sekitar jam 5.30 petang semalam.

"Mangsa yang sedang berjalan kaki bersendirian di laluan pejalan kaki di MRT Kota Damansara telah didatangi suspek dan terus menggari tangannya sebaik memperkenalkan diri sebagai polis.

Iklan

"Mangsa dibawa menaiki kereta dan merampas barang berharganya kemudian diturunkan di sebuah stesen minyak Sri Gombak, Kuala Selangor," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Pistol angin, alat gari tangan, pelbagai jenis jam antara yang dirampas polis.

Fadzil berkata, berdasarkan laporan yang dibuat mangsa, satu pasukan polis digerakkan bagi mengesan suspek dan hampir tiga jam kemudian, seorang suspek berjaya ditahan.

Iklan

"Suspek pertama seorang lelaki ditahan pada jam 8.45 malam di sebuah pasar raya di Rawang.

"Pada jam 12.30 tengah malam tadi, polis berjaya menahan tiga lagi suspek termasuk seorang wanita di Dataran Kemerdekaan Seksyen 14 Shah Alam.

"Semua suspek berusia 20 hingga 30 tahun dan ketiga-tiga suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau. Salah seorang daripada mereka merupakan individu yang dikesan polis kerana terlibat dengan kes cubaan bunuh," katanya.

Antara batu pertama yang nilai keseluruhannya berjumlah RM100,000 dipercayai diperoleh dari hasil samun suspek.

Fadzil memberitahu, siasatan awal polis mendapati kegiatan suspek telah bermula sejak tiga bulan lalu.

"Suspek aktif di Selangor, Kuala Lumpur dan Perak melibatkan keseluruhan 16 kes. Suspek mensasarkan samun rumah, kedai termasuklah penempatan warga asing.

"Bagaimanapun, polis yakin ada lagi kes melibatkan suspek yang tidak dilaporkan mangsa.

"Justeru itu, polis meminta kerjasama orang ramai khususnya mangsa untuk tampil membantu siasatan polis untuk pengecaman suspek," katanya.

Fadzil menambah, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini.