Tubuh bahagian khas kendali pelaburan ECRL, kata Daim

Iklan
Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin ketika ditemu bual Bernama mengenai Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Menara Ilham hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Satu bahagian khas perlu ditubuhkan bagi melancarkan serta memberi kemudahan pelaburan China dan sumber domestik untuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ketika melontarkan cadangan itu, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Tun Daim Zainuddin berkata ini penting kerana beliau menerima pertanyaan daripada pihak yang berminat untuk melabur di negara ini.

Iklan
Iklan

Malah, kata beliau, cadangan penubuhan bahagian khusus itu turut disuarakan oleh kedua-dua pelabur China serta tempatan dan beliau sendiri sudah memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

"Sewaktu ke China baru-baru ini, saya turut didatangi pelabur yang menyatakan minat mereka untuk melabur di sini. Oleh itu, saya berpendapat bahagian khas itu akan berperanan membantu (urusan pelaburan) pelabur dari China serta pelabur tempatan.

Iklan

"Sekiranya ini (bahagian khas) diwujudkan, apabila pelabur China ke Malaysia, kita dapat menguruskan dari segi mengatur mesyuarat dan membantu sehingga mereka mendapat kelulusan (bagi pelaburan masing-masing).

"Mereka akan mendapati bahawa semua urusan itu berjalan lancar dan pantas dan kita juga akan mendapat kepercayaan mereka," katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Iklan

Mengulas selanjutnya, Daim turut mengingatkan pelabur tempatan untuk bersedia dengan impak limpahan projek ECRL itu kerana para pekerja terbabit akan memerlukan perkhidmatan seperti tempat tinggal serta makanan.

Beliau juga menyifatkan pada kos RM44 bilion, projek rel itu adalah yang terbesar terutamanya bagi kalangan penduduk Pantai Timur dan peluang besar itu wajar dimanfaatkan oleh mereka serta perniagaan di kawasan terbabit.

"Oleh itu, jika penduduk tempatan bijak dan mengambil kesempatan (di atas projek itu), mereka boleh membantu (pelaburan) dengan meningkatkan perbelanjaan dan menjana pendapatan. Ini turut menjadi antara cara bagi merangsang pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar," jelasnya.

Selain itu, Daim juga menggesa penduduk di sekitar kawasan laluan rel berkenaan untuk turut sama mempromosikan kelebihan (produk), kepakaran dan perkhidmatan yang boleh ditawarkan.

"Mereka perlu berani tampil dan menawarkan aspek infrastruktur atau pun tenaga kerja yang ada.

"Saya juga menjangkakan kita akan menyaksikan lebih banyak manfaat untuk negara ini sekembalinya Perdana Menteri daripada Sidang Kemuncak 'One Belt, One Road' (Satu Jajaran, Satu Laluan) di China pada akhir bulan ini," katanya.

Pada awal minggu ini, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) bersetuju membentuk syarikat usaha sama 50:50 untuk pengendalian, pengoperasian dan penyelenggaraan rangkaian rel ECRL tersebut. - Bernama