KOTA BHARU - Ibu bapa di sini menyifatkan cadangan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkenalkan program penajaan pengajian percuma sebagai langkah terbaik untuk mengubah nasib keluarga miskin.
Suri rumah, Siti Munirah Mokhtar, 36, dari Kuala Nal, Kuala Krai berkata, program itu diharap dapat membantu golongan berpendapatan rendah yang mempunyai ramai anak untuk meneroka pengajian ke peringkat lebih tinggi.
"Sekurang-kurangnya ia meringankan beban ibu bapa kerana kos pengajian ke peringkat lebih tinggi ketika ini sangat mahal dan membebankan kami.
"Walaupun sekarang anak-anak masih di sekolah rendah dan menengah tetapi kami sudah terasa bebannya setiap kali memikirkan kos pakaian, alat tulis dan sebagainya," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, pekerjaan suaminya sebagai buruh turut menuntut mereka membuat tabungan khas bagi menampung kos pendidikan anak-anak.
Ujarnya, disebabkan kos pengajian terlalu tinggi ada dalam kalangan anak-anak dari keluarga kurang berkemampuan memilih untuk bekerja dan menolak tawaran menyambung pelajaran.
Seorang buruh, Ahmad Ismail, 58, dari Selising, Pasir Puteh berkata, cadangan itu dilihat bakal membuka lembaran baharu kepada anak-anak keluarga berpendapatan rendah.
Tambahnya, walaupun hanya seorang anak sahaja yang mendapat pendidikan namun usaha itu dilihat amat membantu meringankan beban.
"Saya harap lebih banyak peluang-peluang pendidik percuma dapat disediakan oleh kerajaan kepada pelajar kurang berkemampuan selepas ini," kata bapa kepada 15 orang anak itu.
Sementara itu, peniaga aiskrim, Rosmawati Hussin, 42, memberitahu, dia berharap anak-anak golongan berpendapatan rendah dapat mengambil peluang yang disediakan kerajaan dengan sebaik mungkin.
"Pelajaran merupakan platfrom terbaik untuk mengubah nasib keluarga.
"Jadi janganlah persiakan peluang yang telah disediakan oleh kerajaan ini jika ia benar dilaksanakan nanti,"ujarnya.
Sebelum itu media melaporkan KPT akan memperkenalkan program penajaan pengajian percuma kepada pelajar generasi pertama keluarga miskin yang berjaya memasuki universiti.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata mekanisme dan dasar itu akan dibawa kepada Jemaah Menteri untuk disokong dan dijadikan dasar yang berkelangsungan.
"Ia sebagai langkah menamatkan kemiskinan melalui ilmu dan kemahiran," katanya.