KUALA LANGAT - Syarikat Pengurusan Sisa Pepejal Pintar, KDEB Waste Management (KDEBWM) melancarkan jentera pembersihan pantai, ‘Walk Beach Comber’ dan jentera mengutip sampah ‘Glutton Electric Little Picker’ seiring dengan perkembangan dan kemajuan teknologi terkini.
Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat KDEBWM, Ahmad Rizal Mohd Daud berkata, pelancaran dua jentera itu menjadikan kerja-kerja pembersihan Pantai Morib lebih efisien dan produktif.
"Dua jentera berteknologi moden ini digunakan berikutan kepercayaan tinggi oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) yang telah menganugerahkan kontrak kerja-kerja pembersihan Pantai Morib kepada KDEBWM," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut Ahmad Rizal, ‘Walk Beach Comber’ adalah sebuah jentera pembersih pantai buatan Itali itu mampu melakukan kerja pembersihan berkeluasan 1,400 hingga 3,200 meter persegi perjam dengan lebar pembersihan yang boleh dicapai sehingga 97 sentimeter (cm).
Ujarnya, jentera 'Glutton Electric Little Picker’ berfungsi sebagai jentera mengutip sampah elektrik sifar pelepasan karbon selari dengan usaha syarikat memacu penggunaan teknologi hijau dalam masa sama mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
"Jentera ini dilengkapi dengan jangka hayat bateri sehingga 16 jam penggunaan, ia mampu dikendalikan dan bergerak dengan mudah tanpa menggunakan tenaga yang banyak," jelas beliau.
Dalam pada itu, Ahmad Rizal memberitahu, pihak KDEBWM turut menyerahkan sebanyak 47,495 unit tong sampah
berkapasiti 120 liter secara berperingkat dalam usaha mengekalkan kebersihan kawasan Kuala Langat.
"Sebagai sebuah syarikat pengurusan perkhidmatan sisa pepejal pintar, KDEBWM sentiasa meneroka peluang dalam bidang kemampanan, digital dan teknologi terkini bagi menambah baik operasi syarikat," jelas beliau.
Info