Batal lesen agensi pelancongan jika langgar peraturan - MOTAC

Iklan
King Sing

KUCHING - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengambil tindakan tegas dengan membatalkan lesen agensi pelancongan jika didapati menyalahi peraturan, kata Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing pada Rabu.

Beliau berkata, kementeriannya telah menjalankan siasatan mengenai isu yang mendakwa ada beberapa agensi pelancongan tempatan memborong tiket penerbangan secara pukal.

Iklan
Iklan

"Saya telah meminta Timbalan Menteri (Khairul Firdaus Akbar Khan) menjalankan siasatan untuk isu ini dengan mengadakan pertemuan bersama ejen-ejen pelancongan. Semalam (Selasa), beliau baru habis menjalankan siasatan dan saya belum berkesempatan bertemu beliau untuk mendapatkan maklumat lengkap," katanya.

Tiong yang ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini berkata, beliau akan membuat kenyataan lanjut esok sekiranya sudah mendapat maklumat lengkap tentang perkara itu sebelum ke Indonesia bagi menghadiri Forum Menteri ASEAN.

Iklan

"Bila-bila saya dapat semua (maklumat) saya akan umum. Kalau tidak sempat, saya akan umumkan sebaik sahaja balik dari Indonesia pada 7 hari bulan (Februari),” katanya.

Media tempatan melaporkan terdapat beberapa syarikat umrah tempatan yang 'memborong' tiket penerbangan ke Tanah Suci dan didakwa turut menjualnya kepada agensi umrah di Indonesia pada harga sehingga RM6,000 bagi mengaut keuntungan besar. - Bernama

Iklan