KOTA BHARU - Kerajaan sepatutnya menurunkan harga bahan mentah seperti minyak masak, ayam, daging, sayur dan sebagainya sebelum mengajak rakyat untuk memboikot kedai makan atau restoran yang menjual makanan mahal.
Pengerusi Persatuan Restoran Melayu Kelantan (PRMK), Nik Hassan Mohd Zain berkata, tindakan bersifat politik itu dilihat tidak sesuai di saat pemain industri berdepan dengan 'tekanan' harga bahan mentah yang tinggi ketika ini.
"Sudahlah begitu, kesan 'serangan' pandemik Covid-19 lalu masih lagi dirasai sehingga hari ini. Situasi ini menyaksikan kami memerlukan masa untuk bangkit semula," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.
Menurut beliau, PRMK berharap kerajaan dapat mencari penyelesaian segera dalam membantu meredakan tekanan yang dialami oleh pemain industri.
Ujarnya, selain peningkatan kos pengurusan melibatkan sewa, pengangkutan dan lain mereka turut berdepan dengan pelaksanaan gaji minimum.
Nik Hassan memberitahu, keadaan ekonomi yang masih belum pulih akibat Covid-19 memberikan kesukaran kepada mereka untuk melaksanakan arahan kerajaan itu.
Sebelum ini, media melaporkan, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mencadangkan supaya rakyat ‘pulau’ kedai makan dan restoran yang gagal menurunkan harga meskipun kos bahan mentah dalam pasaran kini menunjukkan penurunan.
Rafizi dilapor, mengakui kerajaan tidak campur tangan terhadap kenaikan harga dan mengharapkan kerjasama orang ramai untuk memulau premis terlibat.