Kerajaan cadang usahakan tanah terbiar untuk pertanian moden

Iklan
Ahmad Maslan

SEREMBAN - Kerajaan Persekutuan menerusi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kementerian Kewangan (MoF) sedang mencari tanah terbiar di negeri-negeri untuk disewa atau dipajak bagi mewujudkan projek pertanian moden.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, terdapat keperluan mengenai perkara tersebut terutamanya dalam usaha untuk memastikan sekuriti makanan negara terjamin.

Iklan
Iklan

"Ini antara maklum balas dalam sesi Dialog Belanjawan 2023 bersama kerajaan negeri. Kerajaan pusat kini mencari tanah kosong dan terbiar...GLC di bawah kementerian yang mempunyai kewangan mencukupi dapat membangunkan tanah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Dialog Belanjawan 2023 di sini pada Rabu.

Ia turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun serta penjawat awam, pekerja swasta, teknorat, badan bukan kerajaan dan ahli akademik bagi memastikan penyediaan Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini lebih menyeluruh.

Iklan

Sementara itu, beliau berkata, Belanjawan 2023 tertumpu kepada usaha untuk menangani isu kos sara hidup dan pekerjaan rakyat, memperkukuh ekonomi negara, melaksanakan reformasi institusi, pengurusan bencana dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

Ahmad berkata, pada sesi dialog hari ini, antara cadangan diberikan oleh pihak kerajaan negeri adalah peruntukan untuk penyelenggaraan bangunan, empangan, pelaburan berkualiti serta membincangkan masalah kesesakan trafik di Seremban-Kuala Pilah-Jempol terutamanya ketika musim cuti umum.

Iklan

Menurutnya, MoF mengalu-alukan penglibatan semua lapisan masyarakat bagi memastikan proses penyediaan Belanjawan 2023 lebih telus dan inklusif sekali gus mempelawa orang ramai memberikan cadangan dan pandangan di laman khas bajet di www.mof.gov.my sehingga 10 Februari ini. - Bernama