SHAH ALAM - Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan sebuah bengkel selenggara bas di Jalan Sungai Buaya, Rawang disyaki berpotensi mencemarkan sungai dan operasi Loji Rawatan Air (LRA) di kawasan itu pada Selasa.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, bengkel itu diserbu LUAS bersama agensi kerajaan lain.
Menurut beliau, hasil serbuan itu menemukan tumpahan disyaki minyak hitam di premis tersebut.
"Pemeriksaan membawa kepada penemuan enam tong minyak dan tumpahan yang berpotensi mencemarkan Sungai Serendah dan operasi LRA Rantau Panjang pada jarak 20 kilometer," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Loy Sian menegaskan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan arahan kepada pemilik bengkel itu membuat kawalan dan pelupusan ke atas buangan terjadual minyak hitam terpakai.
Jelas beliau, tindakan tegas itu perlu dimaklumkan kepada jabatan tersebut dalam tempoh tiga hari.
Ujarnya, Notis 425 (1) Kanun Tanah Negara 1965 diberikan atas kesalahan menduduki tanah kerajaan (meletakkan bas) tanpa kebenaran.
"Premis terbabit juga turut diarah segera membuat pembersihan secara menyeluruh di kawasan tersebut," tambah beliau.
Sehubungan itu, katanya, LUAS bersama agensi berkaitan akan menjalankan pemantauan secara berterusan di lokasi berkenaan.
"Segala arahan dan tindakan yang dikenakan ke atas premis itu akan dipastikan untuk terus dipatuhi," katanya.