KOTA BHARU - Murah, sedap dan menyelerakan. Itu antara reaksi pelanggan pada hari pertama Program Menu Rahmah di Pasar Raya Mydin Tunjong, dekat sini hari ini.
Pelanggan Norizan Arifin, 63, dari Pasir Tumboh berkata, menu yang disediakan bukan sahaja seimbang, malah mampu dibeli oleh golongan berpendapatan rendah.
"Harga yang ditawarkan pula adalah berpatutan, hidangannya segar dan amat menyelerakan. Program ini amat baik malah berbaloi bagi mereka yang mempunyai jumlah ahli keluarga yang ramai," katanya kepada Bernama ketika ditemui hari ini.
Tinjauan Bernama mendapati pelanggan beratur panjang di kaunter Menu Rahmah pasar raya berkenaan untuk mendapatkan makanan tengah hari.
Bagi Fatiehah Jaafar, 34, dari Pasir Mas pula berkata, tawaran itu jelas meringankan beban rakyat yang berhasrat mendapatkan pilihan makanan yang sihat dan seimbang.
"Bagi saya menu makanan tengah hari iaitu nasi putih, lauk dan air mineral ini berpatutan harganya serta boleh mengenyangkan," katanya.
Sementara itu Pengurus Cawangan Pasar Raya Mydin Tunjong, Nor Rashid Suratman berkata, Menu Rahmah ditukar setiap hari bagi memberikan pilihan kepada pelanggan.
"Sebagai contoh pada hari Rabu kita sediakan menu nasi putih, lauk ayam goreng kunyit, bayam goreng serta sebotol air mineral. Alhamdulillah sambutan pada hari pertama Menu Rahmah diperkenalkan di sini amat menggalakkan,” katanya.
Semalam Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, orang ramai kini boleh menikmati makanan tengah hari dan malam masing-masing pada harga RM5 di hampir 15,000 premis makanan di seluruh negara melalui Program Menu Rahmah. - Bernama