JOHOR BAHRU - Dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Agama Sri Bertam, Batu Pahat dan SK Mawai di Kota Tinggi yang menempatkan mangsa banjir di dua daerah berkenaan ditutup setakat jam 4 petang pada Rabu.
Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), penutupan dua PPS berkenaan menjadikan hanya 10 PPS yang masih beroperasi di tiga daerah di negeri ini melibatkan Batu Pahat, Kota Tinggi dan Segamat.
"Penutupan ini juga menyaksikan jumlah mangsa banjir terus mencatatkan penurunan apabila seramai 995 mangsa daripada 276 keluarga masih berada di 10 PPS ketika ini.
"Di Batu Pahat seramai 878 mangsa daripada 247 keluarga masih berada di enam PPS manakala di Kota Tinggi seramai 41 mangsa daripada enam keluarga masih berada di satu PPS dan 76 mangsa daripada 23 keluarga berada di tiga PPS di Segamat.
"Penurunan jumlah mangsa banjir ini juga adalah berikutan keadaan cuaca yang bertambah baik ketika ini,” katanya.
Dalam pada itu, berdasarkan sumber daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), ribut petir dijangka melanda Segamat, Kluang dan Mersing bagaimanapun tiada amaran hujan lebat berterusan diramalkan berlaku di ketiga-tiga daerah berkenaan.
Sementara itu, laporan berkenaan turut memaklumkan dua jalan melibatkan Jalan Tanah Abang/Selekoh Pertama Tanah Abang di Mersing dan Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau di Kulai ditutup kepada semua kenderaan berikuktan banjir dan tanah runtuh.
"Jalan Tanah Abang/Selekoh Pertama Tanah Abang di Mersing (laluan J228, seksyen 1.0), ditutup kerana dinaiki air setinggi 0.85 meter, manakala Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau di Kulai juga ditutup kepada semua kenderaan berikutan air naik setinggi 12 meter susulan cerun runtuh di laluan J08 Seksyen 3.5,” katanya.