IPOH - Susulan penemuan jejak harimau belang di Tanah Hitam dan Kampung Ulu Kuang, Chemor di sini, menyebabkan penduduk bimbang untuk ke kebun mereka.
Seorang penduduk, Rosley Mustaffa, 48, mengakui tidak berani untuk ke kebun kelapa sawit miliknya berseorangan pada lewat petang kerana bimbang jika terserempak dengan haiwan liar itu.
Menurutnya, walaupun tidak pernah menemui haiwan liar tersebut di kebun, perasaan takut tetap ada memandangkan sudah ada kesan kehadiran binatang terbabit.
"Memang saya ada kebun sawit, biasanya dari pagi sampai petang saya akan ke sana tengok pokok. Tapi bila dah berlaku kejadian ini, takut juga nak tunggu sampai petang.
"Kalau pergi pun waktu pagi sahaja. Nak tak nak kena pergi juga sebab itu sahaja pendapatan yang ada untuk sara keluarga," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Ulu Kuang, Chemor di sini pada Rabu.
Bagi Hamdan Ishak, 56, pula mengakui beberapa penduduk yang bekerja sebagai penoreh getah tidak lagi berani untuk pulang lewat petang disebabkan bimbang akan kehadiran harimau belang tersebut.
Jelasnya, sungguh pun begitu aktiviti harian di kampung berkenaan masih berjalan seperti biasa walaupun terdapat pelbagai cerita di kumpulan WhatsApp mengenai kejadian tersebut.
"Sebelum ini memang ada kes kehadiran harimau akar dan harimau kumbang di kampung ini tetapi harimau belang pertama kali berlaku di kawasan ini.
"Apa pun kita percaya Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) sedang bertindak dan kita harap penduduk tidak terlalu bimbang," katanya yang juga bekas ketua kampung.
Sementara itu, seorang penternak Mohd Yunus Ahmad, 49, sudah mengambil tindakan mengurung lembu dan kambing belaannya bagi memastikan kejadian serangan harimau belang tidak berulang.
Ketika kejadian serangan itu pada 26 Januari lalu, dia tiada di lokasi kejadian sebaliknya hanya dimaklum mandur ladang kelapa sawit di Kampung Ulu Kuang, Chemor di sini.
Katanya, seekor lembu betina miliknya mati dibaham harimau belang berdasarkan kesan gigitan dan cengkaman binatang buas tersebut.
"Sebelum itu tiga ekor kambing saya hilang di lokasi yang sama. Tak adalah saya syak harimau. Bila lembu saya dibaham harimau baru-baru ini, saya dah tak lepaskan ke ladang kelapa sawit itu.
"Sekarang ini saya masukkan semua ternakan dalam kandang sebab takut kejadian sama berulang," katanya.
Pada Selasa, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff mengesahkan pihaknya menerima aduan berhubung kehadiran harimau di Tanah Hitam dan Kampung Ulu Kuang, Chemor baru-baru ini.
Aduan mengenai kejadian berkenaan di Tanah Hitam diterima pada 17 Januari manakala kejadian di Kampung Ulu Kuang pula diterima pada 26 Januari.