Imigresen tubuh pasukan QRT atasi kesesakan di KLIA

Iklan
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud(empat, kanan) ketika tinjauan Pelaksanaan Task Force Mengatasi Kesesakan di KLIA di sini pada Rabu.

SEPANG - Seramai 30 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia ditugaskan dalam Pasukan Khas Tindak Cepat(QRT) bagi mengatasi masalah kesesakan kaunter pemeriksaan masuk pelawat asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua pegawai terlibat ini akan dibahagikan kepada dua pasukan.

Iklan
Iklan

"Kesemua mereka ini terdiri daripada pegawai-pegawai yang bertugas di sektor operasi dan lain-lain perkhidmatan sokongan.

"Pegawai-pegawai ini telah diberikan pendedahan dan latihan sebelum ditugaskan di kaunter-kaunter imigresen di KLIA dan KLIA2," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas tinjauan Pelaksanaan Task Force Mengatasi Kesesakan di KLIA di sini pada Rabu.

Katanya, kesesakan dikenal pasti melibatkan beberapa faktor antaranya meliputi faktor pemeriksaan dan jumlah ketibaan penerbangan.

Iklan

"Kesesakan disebabkan pemeriksaan ketat pelawat asing dari negara berisiko tinggi dan ketibaan penerbangan setiap lima hingga 10 minit atau jumlah ketibaan antara 26 dan 27 penerbangan untuk tempoh empat jam pada waktu puncak.

"Setelah dengan pelaksanaan pasukan QRT ini, seramai 780 pelawat diberi pelepasan masuk dalam tempoh satu jam berbanding 495 orang dalam masa 47 minit sebelum ini," katanya.

Ujar Khairul Dzaimee, pelaksanaan peluasan kemudahan autogate kepada pemegang pas jangka panjang yang dilancarkan pada 15 November lalu telah menunjukkan perkembangan positif.

"Kaedah ini sekali gus menangani kesesakan di KLIA yang mana sehingga 29 Januari 2033, seramai 15,708 pelawat Pemegang Pas Jangka Panjang telah menggunakan kemudahan autogate ini," katanya.

25 Januari lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya akan mewujudkan dua kumpulan 'Quick Response Team' (QRT) yang mula beroperasi 1 Februari bagi membantu pegawai di kaunter semasa waktu puncak.

Menurut beliau langkah ini diambil bagi mengatasi isu kesesakan melibatkan pelawat asing di KLIA.