SHAH ALAM - Tiada jalan penyelesaian terbaik mencegah dan menangani perbuatan rasuah serta salah guna kuasa dengan lebih efisien melainkan kerajaan sedia ada bertindak lebih agresif.
Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Thomas Fann berkata, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melaksanakan pembaharuan institusi dan kakitangan di bawahnya.
Menurutnya, menerusi pembaharuan dalam sektor penting tersebut, ia akan menjadikan badan-badan kerajaan melaksanakan tugas dan amanah diberikan dengan penuh rasa tanggungjawab.
Malah, dengan pelaksanaan itu, katanya, semua agensi kerajaan akan berkhidmat secara telus terutama melibatkan aspek kewangan dan perolehan negara.
"Semua ini bagi menjadikan kerajaan di bawah pimpinan Anwar menjadi lebih bertanggungjawab kepada Parlimen dan benar-benar telus terutamanya dalam hal kewangan.
Thomas berkata, antara komitmen yang perlu dilaksanakan adalah menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai sebuah badan yang benar-benar bebas daripada pengaruh politik.
Selain itu, katanya, undang-undang seperti Akta Pembiayaan Politik dan Akta Perolehan mesti diperkenalkan kerajaan bagi memastikan ketelusan dan tidak berlaku salah guna kuasa.
"Jika langkah-langkah ini diambil, saya percaya kita semua akan dapat melihat peningkatan dalam pencapaian skor untuk Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Thomas berkata, penurunan markah keseluruhan Malaysia untuk CPI sepanjang tiga tahun lepas adalah ekoran daripada berlakunya kekacauan politik dilalui negara sejak ‘Langkah Sheraton’.
Dalam tempoh itu, ujarnya, amalan demokrasi berada pada tahap paling rendah apabila kerajaan yang tidak mempunyai mandat rakyat bertindak menggulingkan kerajaan yang dipilih secara sah.
"Terdapat kekurangan ketelusan dan akauntabiliti dalam tempoh itu yang mana Parlimen digantung dan disekat dalam peranannya sebagai institusi semak dan imbang.
"Sejumlah besar wang diketepikan dengan sedikit penelitian semasa wabak itu. Perkara ini adalah faktor yang menyumbang kepada penurunan skor CPI,” katanya.