MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menyahut cabaran dilontarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar kontinjen Malaysia membawa pulang emas pertama pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Najib berkata, badan induk sukan negara itu telah melakukan persiapan rapi menerusi Program Gold Paris 2024 bagi memantau pelaksanaan dan keberkesanan misi merealisasikan emas pertama tersebut.
"Ya... kita di MOM sahut cabaran itu kerana tahu tidak hanya kerajaan tetapi juga rakyat Malaysia mahu melihat kontinjen Sukan Olimpik negara meraih emas pertama di Paris 2024.
"Sebenarnya persiapan Sukan Olimpik Paris 2024 ini telah pun kita buat awal menerusi Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Program Gold Paris 2024 yang dipengerusikan Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
"Alhamdulillah, kita dapat sokongan padu daripada persatuan sukan kebangsaan baik dari segi bantuan analisis termasuk psikologi.
"Cumanya untuk masuk ke next level, kita memerlukan bajet lebih lebih tinggi bagi membolehkan para atlet yang memiliki prospek menghadirkan emas diberikan perhatian khusus dalam aspek latihan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Pada masa sama, Nazifuddin juga berharap kesemua atlet negara menyahut cabaran daripada pemimpin nombor satu negara itu.
"Namun, semua akan kembali kepada para atlet kerana kita tidak boleh memaksa atlet memberikan keputusan terbaik tanpa kerja keras dan disiplin tinggi.
"Bagi tahap Sukan Olimpik, kekuatan fizikal dan mental akan menjadi teras utama kepada atlet untuk memberikan sesuatu yang luar biasa dalam setiap persembahan mereka untuk mencipta kejayaan,” ujarnya.
Nazifuddin juga mengakui sandaran untuk merangkul emas pertama negara masih kepada dua acara sukan utama iaitu berbasikal trek dan badminton.
Malah, beliau berkata, MOM telah memasuki fasa perbincangan dengan persatuan sukan kebangsaan yang berpeluang untuk menyertai temasya Olimpik di Paris nanti.
"Kita mahu sukan yang berpeluang menyertai Paris 2024 kali ini diberikan sokongan dan perhatian yang khusus dalam menghasilkan pingat untuk negara.
"Jadi saya senada dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh supaya peruntukan untuk sukan dalam Bajet 2023 tidak dipotong dalam usaha menyediakan kontinjen terbaik di Paris,” jelasnya.