Pemandu maut, treler terbalik

Iklan
Keadaan treler yang terlibat dalam kemalangan di KM371.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan pada malam Rabu. - Foto JPBM Perak

TANJUNG MALIM - Seorang pemandu treler maut apabila kenderaan yang dipandu terbabas di KM371.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan pada malam Rabu.

Mangsa, Mohd Nor Afzam, 36, dari Bukit Minyak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang maut di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan pada jam 11 malam.

Menurutnya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kajang, Selangor.

Iklan

"Apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa telah membrek mengejut kerana terdapat sebuah kereta dihadapannya menyebabkan kenderaan dipandu hilang kawalan lalu terbabas melanggar dan terseret di besi pembahagi tengah jalan.

"Akibat kemalangan ini mangsa mengalami kecederaan di bahagian badan dan meninggal dunia di lokasi kemalangan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Mohd Hasni berkata, kejadian kemalangan terbabit disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa.

"Ketua operasi mengarahkan anggota menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang maut dalam kejadian tersebut," katanya menerusi maklumat yang dikongsi kepada media pada Khamis.

Anggota BBP Slim River membantu mengeluarkan mangsa yang maut dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah treler di KM371.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan pada malam Rabu. - Foto JPBM Perak

Menurutnya, operasi menyelamat turut dibantu dua unit kren bagi tujuan mengalih kepala lori dan treler sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.

Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 2.10 pagi pada Khamis.

Kejadian kemalangan tersebut juga menyebabkan trafik sesak sehingga tujuh kilometer (km) arah selatan dan tiga km arah utara.