Pasaran emas dijangka diniagakan rendah tahun ini

Iklan
Pasaran emas di Malaysia dijangka diniagakan lebih rendah tahun ini dalam persekitaran kebimbangan berterusan terhadap kemelesetan global ditambah pula dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak empat kali oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2022. - Gambar hiasan

PASARAN emas di Malaysia dijangka diniagakan lebih rendah tahun ini dalam persekitaran kebimbangan berterusan terhadap kemelesetan global ditambah pula dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak empat kali oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2022, kata Pengerusi Eksekutif Public Gold, Datuk Wira Louis Ng.

Beliau berkata, apabila bank pusat menaikkan kadar pinjaman, ia menjejaskan mudah tunai rakyat dan pendapatan boleh guna.

Iklan
Iklan

"Kemelesetan global ditambah dengan kenaikan OPR akan memberi kesan kepada pasaran runcit barang kemas kerana orang ramai hanya akan membeli emas apabila mereka mempunyai lebihan wang selepas memenuhi keperluan asas mereka," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata, pergerakan logam berharga itu di pasaran antarabangsa adalah sebaliknya, ia akan dipengaruhi oleh prestasi kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) dan inflasi seluruh dunia.

Iklan

"Apabila berlaku inflasi, kebiasaannya harga emas akan naik lebih tinggi kerana inflasi menghakis kuasa beli wang kita. Tetapi emas adalah perlindungan semula jadi terhadap inflasi, justeru dijangkakan harga emas akan naik.

"Untuk tahun ini, ia bergantung kepada keputusan Fed sama ada ia akan memperlahankan kenaikan kadar faedah.

Iklan

"Kami mengunjurkan harga emas antarabangsa akan bergerak lebih tinggi pada suku pertama dan kedua tahun ini, memandangkan bagi suku ketiga dan keempat 2023 kami masih menunggu data indikatif menjadi lebih jelas,” katanya.

Beliau berkata, beberapa penganalisis juga menjangkakan harga emas antarabangsa mencatatkan paras tertinggi pada 2023, melebihi AS$2,000 setiap auns troy seandainya Fed tidak menaikkan kadar faedah.

Ng yang juga Presiden Persatuan Emas Malaysia (MGA) berkata, persatuan itu berharap kerajaan akan mengiktiraf piawaian Sirim dan bukannya bergantung semata-mata pada piawaian London Bullion Market Association (LBMA).

Beliau berkata, piawaian LBMA adalah sangat sukar dan bertaraf dunia, ia mengawal pasaran kerana mereka menilai jongkong emas dengan teliti.

"Emas itu mestilah tulen, mereka akan menyemak sumber emas, operasi lombong sama ada sah atau haram, serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) manakala di Malaysia, kita hanya mempunyai standard Sirim.

Sementara itu, Peniaga Phillip Capital Sdn Bhd, Tan Jenn Yuan yakin bahawa pada 2023, emas mungkin mempunyai banyak potensi pertumbuhan, stabil dan masih positif.

"Apabila kita melihat prestasi emas pada 2023, kita menjangkakan konsensus ekonomi yang memerlukan pertumbuhan global yang lebih lemah sama seperti kemelesetan yang singkat dan juga mengurangkan inflasi dan penamatan kenaikan kadar faedah di kebanyakan pasaran maju,” katanya.

Beliau berkata, sebagai aset selamat, emas dianggap sebagai lindung nilai inflasi tetapi kadar faedah yang lebih tinggi mengurangkan daya tarikan jongkong dengan meningkatkan kos peluang untuk memegang emas, sehubungan itu harga emas akan dipengaruhi oleh kenaikan kadar faedah Fed.

"Pembekalan dan permintaan emas selalu menjadi perbincangan walaupun pulangan yang kurang memberangsangkan untuk emas pada 2022, permintaannya sentiasa meningkat.

"Barang kemas, fabrikasi, permintaan China, syiling dan jongkong emas untuk rizab bank pusat akan kembali ke tahap pra-pandemik dan mungkin berada pada paras tertinggi sejak 2016 jika pengembangan ekonomi kembali aktif.

"Dijangka bank pusat dijangka cenderung menurunkan kadar faedah pada 2023 yang akan mempengaruhi pergerakan emas dan menjadikannya sekurang-kurangnya 20 peratus lebih tinggi bagi mengakhiri 2023,” katanya.

Bursa Malaysia Derivatives berkata niaga hadapan emas menyaksikan kontrak paling aktifnya berakhir pada AS$1,781.90 setiap troy auns pada 15 November, 2022, mencecah paras tertinggi dalam berikutan dolar AS yang lebih lemah dalam persekitaran harapan bahawa Fed akan menggunakan pendekatan yang kurang agresif untuk kenaikan kadar.

Harga terendah pernah direkodkan sejak pelancarannya ialah pada 4 November 2022, pada AS$1,623.00 setiap troy auns disebabkan oleh kenaikan kadar faedah Fed sebanyak 75 mata asas. - Bernama