KEMENANGAN Paris Saint-Germain (PSG) ke atas Montpellier 3-1 dalam saingan Ligue 1 pada Khamis terpaksa dibayar dengan harga mahal apabila penyerang sensasi, Kylian Mbappe mengalami kecederaan.
Situasi itu mencetuskan tanda tanya jurulatihnya, Christophe Galtier menjelang perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich 15 Februari ini.
Mbappe dilihat berjalan terhincut-hincut dipercayai mengalami kecederaan hamstring pada pertengahan separuh masa pertama,
Sebelum itu pada minit kelapan dia mengambil sepakan penalti, namun diselamatkan oleh penjaga gol Montpellier, Benjamin Lecomte.
Percubaan kali kedua pemain Perancis itu turut digagalkan selepas pengadil mengarahkan sepakan semula.
Galtier merasakan kecederaan itu disebabkan oleh hentakan dan bukannya masalah otot.
"Dia mendapat hentakan di belakang lutut atau belakang paha. Jadi kita akan lihat perkembangannya,” kata Galtier.
PSG akan melayan kunjungan Bayern di Paris pertengahan bulan ini sebelum aksi perlawanan kedua di Jerman pada 9 Mac.
Mereka terdesak untuk mengelak pengulangan musim lalu apabila tersingkir pada peringkat kalah mati Liga Juara-Juara ketika berdepan Real Madrid.