Bekas pengurus kewangan didakwa gubah wang haram RM28 juta

Iklan
Yong Xian (tengah) didakwa di dua Mahkamah Sesyen hari ini atas 22 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM28 juta. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Seorang bekas pengurus kewangan sebuah syarikat peralatan muzik didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas 22 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM28 juta.

Foo Yong Xian, 35, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir dan Hakim Norazlin Othman.

Iklan
Iklan

Di hadapan Muhamad Anas, tertuduh didakwa atas 10 pertuduhan menerima dan melupuskan wang berjumlah RM9.6 juta manakala di hadapan Norazalin, lelaki itu dituduh atas 12 pertuduhan memindah dan melupuskan wang berjumlah RM18.4 juta.

Kesemua perbuatan terhadap wang hasil daripada aktiviti haram itu didakwa dilakukan menerusi cek dan pemindahan dalam talian akaun milik syarikat peralatan muzik tersebut ke dalam akaun miliknya dan beberapa akaun syarikat lain.

Iklan

Yong Xian dituduh melakukan semua perbuatan itu di dua cawangan bank di Bangsar dan Bandar Puteri Puchong pada Februari 2018 hingga Disember 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulfadli Mohd Nawawi manakala tertuduh diwakili peguam Tuw Min Ric.

Kedua-dua mahkamah membenarkan jaminan berjumlah RM154,000 bersama dua penjamin dan tertuduh diarahkan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

Kes di hadapan Muhamad Anas dibenar dipindah untuk dibicarakan bersama di hadapan Norazlin pada 22 Mac depan. - Bernama