YAN - Seorang pegawai bomba bantuan cedera akibat digigit seekor beruang matahari yang sesat di Kampung Kabu Sepuluh, Selengkoh Tengah dekat Sungai Limau di sini pada Khamis.
Ketika kejadian, mangsa, Mohamad Nizam Hamid, 27, bersama anggota bomba lain dikatakan sedang mengepung haiwan berkenaan untuk ditangkap.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Yan, Penolong Penguasa Bomba Noorhamidi Ali berkata, akibat kejadian itu, mangsa kemungkinan mengalami kecederaan parah akibat terputus urat pergelangan tangan.
"Bomba menerima panggilan kecemasan lebih kurang jam 10 pagi dan sepasukan anggota dihantar ke lokasi dipercayai di mana beruang berkenaan dilihat muncul.
"Setibanya di lokasi, anggota bomba bersama penduduk kampung cuba mengepung beruang itu.
"Bagaimanapun secara tiba-tiba, haiwan berkenaan bertindak agresif dan cuma menyerang anggota," katanya ketika dihubungi.
Jelasnya, tindakan mengepung haiwan itu bertujuan agar ia tidak lari sebelum ditangkap Jabatan Perhilitan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
"Sebelum Perhilitan sampai, anggota cuba kawal agar beruang itu lari, namun ia menjadi agresif. Kebetulan anggota saya berada di hadapan dan tak sempat lari sebelum diterkam dan gigit tangan kirinya," katanya.
Beliau berkata, mangsa diselamatkan anggota bomba yang lain dan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Yan sebelum dibawa ke Hospital Yan untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, anggota itu kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk menjalani pembedahan.
Video mengenai kejadian itu telah tular di media sosial menunjukkan mangsa mengalami kecederaan di tangan dengan kesan darah akibat gigitan haiwan terbabit.