ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi membiayai kos menaik taraf kemudahan di Jeti Kuah dan Jeti Pulau Tuba di Langkawi.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peruntukan terbabit telah diterima oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) pada Disember tahun lepas.
Iklan
Iklan
Menurutnya, kerajaan negeri akan memastikan kerja-kerja menaik taraf kedua-dua jeti berkenaan dilaksanakan dengan segera bagi menarik lebih ramai pelancong domestik mahupun antarabangsa ke Langkawi.
"Peruntukan tersebut sememangnya amat diperlukan bagi memulihkan semula ekonomi pulau bebas cukai itu yang terjejas teruk sepanjang pandemik Covid-19 sejak 2020 hingga 2021,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Khamis.
Muhammad Sanusi berkata, ia juga amat bermakna buat penduduk Langkawi khususnya yang sering berulang-alik ke tanah besar atas pelbagai urusan.
"Semoga keprihatinan yang ditunjukkan ini akan diteruskan dalam pelbagai urusan.
"Diharap ia antara langkah permulaan bagi eratkan lagi hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan atas semangat dan prinsip federalisme yang tulen,” ujarnya.