SHAH ALAM - Hampir 2,000 pengguna memuat turun aplikasi pelancongan Go Selangor bagi mendapatkan pelbagai maklumat berhubung tempat pelancongan menarik di negeri berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengguna juga memberi maklum balas positif dan turut mencadangkan beberapa penambahbaikan seperti mempelbagai pakej tawaran.
Iklan
Iklan
"Terdapat beberapa cadangan penambahbaikan seperti memperbanyakkan lagi pakej tawaran, semestinya perkara ini akan dipertimbangkan sebaiknya pihak berkaitan demi memenuhi selera pengguna," katanya di laman Facebooknya pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan pengunjung yang mahu ke Selangor supaya memuat turun aplikasi untuk mengetahui pelbagai tempat dan aktiviti menarik yang boleh dilakukan di negeri itu.
"Sesiapa yang datang Selangor, boleh sahaja muat turun aplikasi ini untuk mencari aktiviti menarik, Insya-Allah kerajaan negeri berusaha sehabis baik memastikan aplikasi pelancongan ini memberi makna kepada percutian semua," tambahnya.
Dilancarkan pada 14 April tahun lalu, aplikasi Go Selangor dibangunkan hasil kerjasama syarikat pemula tempatan Tourplus Technology dengan kos RM3 juta selari usaha pendigitalan pelancongan Selangor.
Artikel Berkaitan