MELAKA - Keluarga seorang pelajar perempuan, Nur Hannah Khalisa Mohd Khalid, 17, yang dilaporkan hilang sejak dua bulan lepas, merayu agar gadis itu kembali ke rumah mereka di Jalan Mayat, Padang Temu di sini.
Kakak sulungnya, Nur Hidayah Khalida, 25, berkata, adiknya itu meninggalkan kediaman mereka sejak 1 Disember lepas tanpa sebarang pesanan serta tidak membawa beg pakaian.
Menurutnya, seorang lagi kakak yang terakhir melihat Nur Hannah Khalisa sebelum remaja itu hilang memaklumkan adik bongsu mereka berpakaian sukan sekolah warna biru dan putih selain turut membawa kawan perempuan berusia 14 tahun dan kemudian keluar dari rumah mereka kira-kira pukul 4.30 petang.
"Namun selepas itu, kami dapati dia tidak pulang ke rumah dan ibu saya, Nur Ramziah Mislahon, 44, bersama seorang lagi adik lelaki saya membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Baru keesokannya.
"Kami juga telah bertemu dengan kawan yang dia bawa ke rumah kami pada hari itu tetapi dimaklumkan kali terakhir dia berjumpa Nur Hannah Khalisa adalah di lorong Jalan Mayat berhampiran rumah kami pada hari itu dan kemudian membawa haluan masing-masing," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Khamis.
Katanya, dia juga telah bertemu dengan seorang lagi kawan baik Nur Hannah Khalisa yang tinggal di Semabok, bagaimanapun rakan adiknya itu memaklumkan tidak mempunyai maklumat dan tidak dapat menghubungi Nur Hannah Khalisa.
"Disebabkan ibu tidak berapa tahu menggunakan media sosial, saya ada membuat beberapa hantaran mengenai kehilangan adik saya untuk meminta tolong orang ramai membantu mengesan atau menjejakinya.
"Sehingga kini kami masih belum ada apa-apa perkembangan tentang kehilangannya dan berharap kerjasama daripada orang ramai bagi membantu mencari adik selain meminta bantuan polis," katanya.
Sebarang maklumat boleh menghubungi talian 0147104790 (Nur Ramziah) dan 01163195738 (Nur Hidayah Khalida). - Bernama