Johor keluar fatwa umat Islam hadir perayaan bukan Islam

Iklan
Habis. Mohd Fared (kiri) dan Baharin menunjukkan fatwa yang memberikan garis panduan kepada umat Islam untuk menghadiri upacara perayaan masyarakat bukan Islam selepas sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru pada Khamis

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan kerajaan negeri memfatwakan garis panduan buat umat Islam menghadiri upacara perayaan masyarakat bukan Islam bermula minggu depan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, berdasarkan fatwa itu nanti masyarakat Islam dibenarkan memenuhi undangan majlis keraian sesuatu perayaan bukan Islam namun tidak terlibat dengan sebarang upacara atau ritual yang berkait dengan amalan agama tersebut.

Iklan
Iklan

"Menurut sebilangan ulama, hukum meraikan undangan ke majlis perayaan bukan Islam adalah harus dan dibenarkan, contohnya majlis terbuka atau majlis makan malam dan seumpamanya.

"Dalam konteks berkenaan, penganjur majlis perayaan bukan Islam haruslah peka dan memastikan sensitiviti umat Islam dihormati selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan agama rasmi Johor.

Iklan

"Bagaimanapun, masyarakat Islam telah diharam dan dilarang daripada menyertai upacara ritual perayaan bukan Islam termasuklah di rumah ibadat agama berkenaan atau di tempat-tempat lain," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar pada Khamis.

Turut hadir Ketua Penolong Mufti Bahagian Fatwa Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Baharin Jalal.

Iklan

Beliau berkata, umat Islam yang melanggar garis panduan tersebut boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

Menurutnya, empat garis panduan tersebut adalah perkara, perbuatan atau perkataan yang bertentangan dengan akidah Islam; bertentangan dengan syarak; bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya serta menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.

"Antara contohnya termasuklah meletakkan tanda berciri agama di dahi atau anggota tubuh lain; memberi pujian kepada agama bukan Islam; memakai pakaian santa claus; percampuran tanpa batas; berpakaian mencolok mata serta membuat ucapan yang berbentuk dakyah atau menghina agama Islam," katanya.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua agama serta pengurus rumah ibadat bukan Islam bagi memberikan penerangan berhubung garis panduan tersebut.

"Langkah ini bukan bermaksud menjarakkan keharmonian kaum dan agama, sebaliknya panduan ini adalah agar semua pihak berhati-hati agar masyarakat Islam tidak terjerumus kepada perbuatan yang melanggar syarak tanpa disedari.

"Semua pemimpin agama termasuk bukan Islam perlu menerima perkara ini, dan diharapkan langkah ini akan bukan sahaja dapat mengukuhkan keharmonian beragama di Johor tetapi juga memastikan akidah umat Islam terpelihara," jelasnya.