SELEPAS menguasai pentas konsert, fenomena kumpulan K-Pop dari Korea Selatan, BTS kini menghangatkan pawagam-pawagam di lebih 110 negara.
Jika sebelum ini, 'boy band’ paling berpengaruh di dunia beraksi di pentas ataupun di televisyen, kini konsert persembahan mereka telah difilemkan pula.
Menurut agensi kumpulan BTS, HYBE, filem 'BTS: Yet to Come in Cinemas' yang mula ditayangkan pada Rabu mendapat sambutan luar biasa.
Filem tersebut mendokumentasikan konsert percuma kumpulan BTS bertajuk"Yet to Come in Busan" yang diadakan di Busan pada Oktober tahun lalu.
Konsert itu antara lain bertujuan mempromosikan bidaan bandar itu bagi menganjurkan Ekspo Dunia pada 2030 telah dirakam menggunakan 14 kamera sinematik.
Filem ini dikeluarkan dalam format 2D, 4DX, 4DXScreen dan ScreenX.
Format ScreenX, yang dibangunkan oleh francais pawagam multipleks CGV, menggunakan sisi kiri dan kanan dinding pawagam sebagai skrin kedua.
Keseluruhan filem telah dirakam dengan mengambil kira format ScreenX.
Apa yang menarik, para peminat BTS, yang dikenali dengan julukan ARMY yang menonton filem ini dibenarkan membawa lampu khas BTS masuk ke pawagam untuk menunjukkan sokongan kepada kumpulan itu dan merasai seolah-olah menonton konsert sebenar!
Kini, tanda pagar #YetToComeInCinema trending di Twitter sejak malam tadi.
Sementara itu, pada Selasa, BTS turut dicalonkan untuk anugerah Kumpulan Muzik Kegemaran oleh Nickelodeon Kids Choice Awards 2023, yang dimenangi kumpulan itu selama tiga tahun berturut-turut.