Thaipusam: Tujuh jalan ditutup di Batu Caves

Iklan
Zainal Mohamed menunjukkan salah satu lokasi anggota polis akan ditempatkan untuk pemantauan keselamatan di sekitar Batu Caves.

GOMBAK - Sebanyak tujuh jalan di sekitar Batu Caves akan ditutup bermula Jumaat hingga Rabu sempena sambutan Thaipusam.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, penutupan jalan itu bermula jam 12.01 tengah malam Khamis hingga 12.01 tengah malam Rabu.

Iklan
Iklan

"Jalan yang ditutup antaranya di lampu isyarat Kampung Melayu Batu Caves, susur dari arah Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke Kuil Batu Caves, Jalan Batu Caves Lama ke Pintu Utama Kuil.

"Simpang tiga lampu isyarat hadapan stesen minyak Shell Batu Caves, simpang tiga Jalan SBC 8/ Jalan Batu Caves lama dan susur MRR2 dari Seri Gombak menghala Jalan Perusahaan Batu Caves," katanya pada sidang akhbar di Batu Caves pada Khamis.

Iklan

Zainal Mohamed berkata, seramai 1,888 anggota dan pegawai polis bersama 11 agensi lain ditugaskan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang tempoh Op Palu.

"Kita menjangkakan seramai 2 juta pengunjung akan datang ke Batu Caves, oleh itu keselamatan awam perlu diberi perhatian," katanya.

Iklan

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan tidak meletakkan kenderaan di parkir haram sebaliknya letak di tempat yang dibenarkan dan tidak parkir sesuka hati.

"Orang ramai juga perlu memastikan kenderaan dalam keadaan berkunci sebelum ditinggalkan atau menggunakan kunci tambahan di kenderaan terutama motosikal..

"Pengujung juga dinasihatkan supaya sentiasa menjaga barang-barang berharga bagi mengelakkan kecurian selain berhati-hati dengan penyeluk saku dan patuhi arahan anggota polis yang bertugas," ujarnya.