Penempatan haram ada kemudahan kedai runcit, sekolah

Iklan
Laluan tanah merah menghala penempatan tersebut.

NILAI - Penempatan haram warga asing di Nilai Spring, di sini yang diserbu Jabatan Imigresen Malayia (JIM) Negeri Sembilan pada Rabu dipercayai mempunyai kemudahan lain seperti kedai runcit dan sekolah.

Berdasarkan risikan JIM juga, orang yang menghuni penempatan haram itu adalah bangsa Flores dari Indonesia iaitu sebuah pulau di provinsi Nusa Tenggara Timur, Indonesia, namun belum dapat dipastikan sudah berapa lama kawasan itu diduduki.

Iklan
Iklan

Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, perkampungan berkeluasan 29,000 meter persegi atau kira-kira dua padang bola itu dikelilingi hutan tebal dengan jalan masuk tanah merah.

"Mereka juga didapati menggunakan generator untuk bekalan elektrik dan terdapat 30 struktur rumah kayu di situ meliputi tempat kediaman, stor kecil dan sekolah yang mempunyai silibus dari negara jiran.

Iklan
Laluan tanah merah menghala penempatan tersebut.

"Salah satu struktur rumah di penempatan itu menempatkan barang-barang jualan runcit dan makanan basah berkemungkinan dijadikan kedai runcit untuk kemudahan penghuninya mendapatkan bekalan makanan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Ujarnya, pintu masuk penempatan itu dipasang beberapa tayar kereta yang berpaku selain terdapat beberapa anjing yang dibela berkeliaran di kawasan terbabit dipercayai digunakan sebagai pengawal di penempatan berkenaan.

Iklan

"Ketika operasi dijalankan anggota penguatkuasa perlu berjalan kaki dengan berpecah kepada dua pasukan iaitu yang masuk melalui bahagian depan dan belakang penempatan supaya pergerakan tidak dapat dikesan.

Tambahnya, pihaknya akan mengambil keterangan pemilik tanah serta penghuni yang telah ditahan untuk siasatan lanjut.

"Pemantauan oleh anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen akan dilakukan dari semasa ke semasa supaya tiada individu ya g masuk semula ke penempatan haram ini, buat masa ini struktur rumah kayu juga tidak dirobohkan," katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati penempatan haram itu terletak berhampiran tapak pembinaan selain permukaan tanah tidak rata.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, sebuah penempatan haram pendatang tanpa izin (PATI) di sini terletak sejauh 1.2 kilometer di dalam hutan dan mempunyai kemudahan sekolah diserbu dalam operasi penguatkuasaan bersepadu.

Antara rumah dipenempatan haram di lokasi. -Foto JIM Negeri Sembilan

Dalam operasi itu, seramai 68 orang warganegara Indonesia telah diperiksa dan hasilnya seramai 67 orang berusia di antara dua bulan hingga 72 tahun terdiri daripada 11 orang lelaki, 20 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan telah ditahan.

Semua tahanan terbabit ketika ini ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut atas kesalahan yang dikenal pasti tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.