SHAH ALAM - Kehilangan Toyota Vellfire milik pasukan digunakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh yang hilang di parkir sebuah restoran di Kajang Rabu lalu tidak ada kaitan dengan tindakan polis membanteras gejala dadah di negara ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai curi kenderaan.
"Ini bukan kes cabar kewibawaan polis, tapi kes kenderaan hilang.
ARTIKEL BERKAITAN: Kenderaan rasmi PDRM hilang
"Siasatan dijalankan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) kes kenderaan hilang yang mana kenderaan pelbagai guna (MPV) itu disenarai hitam dan siasatan di lokasi juga telah dijalankan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Fadzil berkata, setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan polis masih giat mengesan kenderaan itu termasuk mendapatkan petunjuk baharu.
"Keterangan pemandu MPV itu juga telah kita rekodkan bagi membantu siasatan.
"Siasatan awal mendapati tiada CCTV di sekitar lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.
Rabu lalu, kenderaan mewah itu disedari hilang oleh pemandunya berusia 31 tahun sebaik selesai makan di restoran berkenaan.
Pemandu terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Jinjang selepas selesai menyelenggara kenderaan itu sebelum menuju ke Negeri Sembilan. Pemandu itu hanya menyedari kenderaan itu hilang selepas satu jam berhenti makan di restoran di Sungai Ramal.