KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang telah menghantar bekalan makanan untuk diagihkan kepada penduduk kampung di pulau peranginan itu yang mengalami gangguan bekalan barang keperluan susulan operasi bot tergendala akibat cuaca buruk dan laut bergelora.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata, bantuan makanan peringkat pertama telah dihantar melalui Jeti Teluk Gading bagi keperluan penduduk selama tiga hari bernilai RM107,000.
Menurutnya, penghantaran makanan yang disalurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui peruntukan kerajaan negeri itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Laut.
"Penghantaran seterusnya dijangka menggunakan kargo swasta melalui Jeti Mersing dalam masa terdekat," katanya.
Mohd Johari berkata, isu gangguan bekalan makanan di Pulau Tioman berlaku saban tahun disebabkan faktor cuaca dan laut bergelora.
"Keadaan itu tidak selamat untuk operasi bot keluar masuk termasuk bagi keperluan menghantar barang.
"Kerajaan ambil peduli tentang kesulitan dihadapi penduduk di sana apabila segera menghantar bekalan makanan itu," katanya.
Kesulitan dihadapi penduduk Pulau Tioman dikongsi seorang peniaga dari pulau itu melalui laman Facebook dua hari lalu.
Melalui rakaman video berdurasi satu minit itu, peniaga wanita terbabit menunjukkan rak jualan di kedainya kehabisan barang keperluan termasuk beras, gandum, roti, bawang, telur dan barang makanan lain.
Keadaan itu berlaku apabila peniaga tidak menerima sebarang penghantaran bekalan sejak 12 hari lalu ekoran bot tidak beroperasi akibat cuaca buruk.