SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan memperincikan mengenai kos pembangunan semula Stadium Shah Alam selepas pameran dan sesi libat urus awam berkaitan stadium tersebut selesai 10 Februari depan.
Beliau berkata, perincian itu akan dibuat selepas tamat sesi libat urus berkenaan iaitu sama ada pada hujung bulan ini atau awal Mac nanti.
"Kalau kita banding stadium dengan stadium, saya yakin ia lebih RM700 juta dan tidak sampai angka RM1 bilion," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media bagi mengulas mengenai kenyataan pemilik pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang menyifatkan kos RM700 juta untuk pembinaan semula Stadium Shah Alam sebagai tidak logik.
Terdahulu, beliau melancarkan program Kita Ke Kampung #produkkampung4u di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Khamis.
Amirudin berkata, pihaknya juga akan mengumumkan tanah yang akan di tukar kerajaan negeri dengan syarikat pemaju, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).
"Rancangan awal, tukar tanah yang tidak digunakan di kawasan stadium, tetapi sekarang rancangan kita sudah sedikit berubah kerana kita akan bangunkan keseluruhan kawasan stadium. MRCB akan bangunkan kawasan ini dengan kos mereka dahulu sehingga siap, baru kita akan gantikan dengan kos yang setimpal,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai program Kita Ke Kampung, beliau berkata, program di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar itu adalah usaha untuk memperkenalkan produk yang dihasilkan oleh warga desa di Selangor melibatkan 4,000 usahawan desa negeri itu.
"Dalam tempoh empat ke lima tahun program ini berjalan, kita akan buat kajian untuk melihat kesan baik. Saya percaya dengan penambahan pemasaran dan sebagainya, mereka dapat meningkatkan minimum 20 peratus daripada pengeluaran produk mereka,” katanya. - Bernama