RM2,000 nafkah interim tak cukup, Emilia terpaksa jual makanan

Iklan
Emilia Hanafi. - Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR - Bekas isteri Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal, Emilia Hanafi memberitahu Mahkamah Majistret di sini pada Khamis bahawa beliau terpaksa bekerja sambilan sebagai penjual makanan serta melakukan kerja-kerja dekorasi rumah bagi menanggung perbelanjaan anak-anaknya selepas bergelar ibu tunggal.

Emilia Hanafi, 43, berkata, beliau memilih untuk bekerja sambilan kerana perlu menguruskan persekolahan tiga anak lelakinya yang berumur 17, 12 dan 10 tahun, termasuk menghantar dan mengambil mereka dari sekolah.

Iklan
Iklan

"Saya menanggung anak-anak dengan menjual makanan yang dimasak dari rumah," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin pada perbicaraan kes SM Faisal yang didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Emilia.

Saksi pendakwaan ketujuh itu berkata, pekerjaan sambilan itu dilakukan untuk menanggung keluarga termasuk tiga anak lelakinya kerana nafkah interim RM2,000 yang diterima bagi setiap anaknya adalah tidak mencukupi.

Iklan

Emilia memberi keterangan pada Khamis selepas mahkamah membenarkan permohonan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili SM Faisal untuk Emilia dipanggil memberi keterangan walaupun pihak pendakwaan membantah permohonan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria bagaimanapun memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan permohonan semakan undang-undang terhadap perintah mahkamah itu supaya Emilia memberi keterangan pada Khamis.

Iklan

Sepatutnya, pada Khamis saksi pendakwaan keenam, Elisa Nani iaitu adik perempuan Emilia disoal balas oleh peguam, namun Akberdin memohon supaya Emilia dipanggil untuk memberi keterangan terlebih dahulu kerana beliau saksi penting pendakwaan.

SM Faisal, 43, didakwa mencederakan Emilia, 43, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang pada 22 November 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nadia Othman bersambung 28 Februari ini. - Bernama