Cadang calon Pemilihan UMNO berkempen guna media sosial

Iklan
Shahrir

SHAH ALAM – Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) mencadangkan pindaan dilakukan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk membolehkan calon dalam pemilihan parti itu berkempen menerusi media massa dan media sosial.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Ab Samad berkata, kelonggaran dalam berkempen menggunakan platform itu dengan syarat iaitu tidak menfitnah, mengata dan mengeji mana-mana calon serta tidak melanggar Perkara 5.3 Tata Etika Ahli UMN0.

Iklan
Iklan

"Kita sedar bahawa tempoh berkempen begitu singkat dan adanya larangan-larangan dalam tata etika ahli UMNO yang menyusahkan serta sempitkan cara calon untuk berkempen.

"Jadi kita sudah syorkan kepada MKT supaya diberikan kelonggaran dalam berkempen menggunakan media massa dan media sosial tetapi hanya untuk menyokong calon dengan syarat tidak menfitnah, mengata dan mengeji mana-mana calon serta tidak melanggar Perkara 5.3 Tata Etika Ahli UMNO,” katanya seperti dipetik laporan portal berita tempatan pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini media melaporkan pemilihan UMNO akan diadakan bermula pada 1 Februari hingga 18 Mac ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan ialah pada 1 hingga 26 Februari.

Iklan

"JPU berharap semua pihak terlibat dalam pemilihan UMNO 2023 akan memberikan kerjasama dan sokongan selain mematuhi peraturan dan larangan demi memastikan proses pemilihan UMNO dapat berlangsung dengan sempurna,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan Badan Perhubungan UMNO Negeri-negeri dan Bahagian-bahagian dibenarkan mengadakan sesi pengenalan calon yang bertanding sebagai pemakluman kepada ahli akar umbi.

Dalam pada itu, Shahrir mengingatkan calon-calon yang bakal bertanding pada pemilihan parti berkenaan untuk mengamalkan corak kempen yang sihat sebagai menjaga keharmonian keluarga UMNO.

Ujarnya lagi, calon-calon juga dinasihatkan untuk meneliti peraturan Pemilihan UMNO seperti yang termaktub dalam Perlembagaan parti.

"MKT memutuskan bahawa tempoh berkempen ialah pada 1 Februari 2023 sehingga 19 Mac 2023. Saya harap semua calon di pelbagai peringkat meneliti segala peraturan dan perkara dalam tata etika ahli UMNO selain patuh kepada perkara tersebut.

"Ini nasihat kami bahawa tata etika ahli UMNO merupakan garis panduan dari segi kelakuan, keputusan, tingkah laku setiap calon sebab itu rujuk dan faham supaya tidak langgar perkara tersebut," jelasnya.

Jelas beliau, sepanjang kempen Pemilihan UMNO 2023, antara perkara dilarang adalah Majlis Perasmian Berkelompok di semua peringkat terutama Cawangan bermula 1 hingga 26 Februari 2023.

"Semua Ketua (empat peringkat) di peringkat cawangan dan semua Ketua (empat peringkat) di Bahagian dilarang berucap sebelum proses Pemilihan dan Pengundian dijalankan.

"Sila rujuk Pekeliling Agenda Persidangan / Mesyuarat Perwakilan yang telah diluluskan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO,” katanya.