KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menyifatkan orang yang layak bergelar Ketua Pemuda UMNO seterusnya adalah mereka yang berani untuk diserang.
Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO itu berkata, individu itu juga perlu berani menyatakan apa yang dirasakannya betul.
"Calon itu tidak boleh nak hanya berada pada kedudukan selamat untuk tak mahu dikritik atau diserang," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada program Sinar Live bertajuk 'Pahit nak telan, tapi...' yang bersiaran dari pejabatnya di sini pada Khamis.
Sebelum ini bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, Shahril merupakan calon yang sepatutnya menjadi Ketua Pemuda UMNO seterusnya.
Bagaimanapun, bekas Ketua Pemuda UMNO itu memberitahu, perkara itu tidak akan berlaku kerana Shahril telah digantung keahlian parti tanpa melalui proses yang sewajarnya.
Mengulas lanjut, Shahril menegaskan, seandainya calon Ketua Pemuda UMNO yang mahu bertanding hanya menggunakan 'modal' sama untuk meraih kepercayaan perwakilan, ia bukanlah calon sebenar yang dicari.
"Kalau mereka nyatakan sebab bertanding seperti ayat lazim seperti mahukan perpaduan dan harmoni dalam parti tanpa berani menyatakan kebenaran sama ada secara tertutup mahupun terbuka, saya rasa itu bukan yang dicari oleh penyokong Pemuda UMNO," ujarnya.
Selepas keahliannya dalam UMNO digantung pada Jumaat lalu dan membuat keputusan untuk tidak mengemukakan apa-apa rayuan, Shahril berkata, setakat ini beliau masih belum menerima tawaran rasmi untuk menyertai mana-mana parti.
Ditanya sama ada beliau akan menerima seandainya menerima tawaran itu, kata Shahril, masih terlalu awal untuknya berbuat demikian.
"Sama ada saya akan terus terlibat dalam politik atau tidak, itu saya akan pertimbangkan.
"Tapi yang pastinya saya akan terus menyumbang kepada rakyat dan menyumbang dalam pembangunan negara bangsa," ulasnya.