BEBERAPA pihak berkuasa agama negeri di Malaysia telah mengeluarkan arahan bahawa mana-mana wakil rakyat sama ada kerajaan, mahupun pembangkang tidak dibenarkan menyampaikan kuliah atau ceramah di masjid dan surau.
Terdapat segelintir pihak yang kurang senang dengan pekeliling dikeluarkan Jabatan Agama Islam negeri kerana ada ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sebelum ini mempunyai tauliah mengajar yang sah.
Di Perak, secara jelas dinyatakan bahawa semua wakil rakyat tidak dibenarkan mengajar di mana-mana masjid, surau Jumaat dan surau bersandarkan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Persidangan Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid Peringkat Negeri Perak pada 24 Oktober 2019.
Penjelasan lanjut turut diberikan Mufti Perak, Datuk Dr Wan Zahidi Wan Teh ketika program Liqa’ Fikri Bersama Pengerusi Muzakarah MKI dan Mufti Perak di Auditorium Universiti Sultan Azlan Shah, awal bulan lalu yang menyatakan arahan tersebut dibuat bagi memastikan masjid dan surau terus neutral sekali gus menjadi medan penyatuan umat.
Bukan apa, dibimbangi akan menyebabkan perpecahan berlaku dalam masyarakat kerana setiap wakil rakyat mewakili parti masing-masing dan sudah tentu imej parti dibawanya mungkin tidak disukai oleh musuh politik, seterusnya dibimbangi membawa perpecahan.
Bagaimanapun, semua parti politik akur dengan arahan berkenaan sebagai menghormati titah Sultan Nazrin, malah ada ahli Parlimen dan ADUN mengambil inisiatif meneruskan kuliah di tempat lain seperti di dewan dan kediaman orang kampung.
Sebenarnya, guru-guru takmir yang sudah menjadi wakil rakyat ini telah ditentukan ALLAH untuk berada pada satu tahap lebih besar dalam meneruskan dakwah.
Mereka sebenarnya mempunyai tanggungjawab lebih besar apabila diberi kuasa untuk menyuarakan segala pandangan dan teguran di dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
Jika dalam kuliah atau ceramah sebelum ini mereka hanya mampu berharap dan berdoa supaya pihak berkuasa bertindak untuk meningkatkan syiar Islam, kini mereka sendiri boleh menggubal undang-undang bagi menjaga kepentingan umat Islam.
Bahkan, jika diamati, kualiti yang ditunjukkan guru takmir yang sudah menjadi wakil rakyat ketika berbahas dan berhujah amat baik berbanding sesetengah ADUN atau ahli Parlimen lain.
Jadi, tidak perlulah diperbesarkan isu wakil rakyat yang tidak dibenarkan mengajar di masjid dan surau ini kerana ketiadaan mereka pun, tidak memalapkan syiar Islam di negara ini.
Bagi tugas mengajar di masjid dan surau, biarkan sahaja ia disempurnakan oleh guru-guru takmir yang masih belum menjadi ‘Yang Berhormat’ kerana masih ramai ilmuwan Islam berkelayakan untuk menghurai kitab-kitab berkaitan ibadah, tauhid, muamalat, fikah dan sebagainya.
Janganlah dihadkan dakwah hanya untuk sekelompok manusia yang menerima hidayah untuk ke masjid dan surau sedangkan medium dakwah ketika ini amat banyak serta meluas dengan adanya pelbagai saluran media sosial.
Lihat bagaimana komposer dan penyanyi terkenal, Datuk M Nasir menyampaikan dakwah menerusi lagu-lagu yang dihasilkan dengan menyelitkan elemen Islam dalam karyanya.
Malah, dalam satu video wawancara, seorang pempengaruh TikTok dari Singapura berjaya mencungkil rahsia karya M Nasir yang banyak dipengaruhi latar belakang keluarga selain Allahyarham bapanya merupakan seorang imam masjid.
Video yang disiarkan oleh @_donjany itu bukan sahaja meraih perhatian lebih 24 juta tontonan dalam masa dua hari di TikTok, malah mendapat pujian dalam kalangan penggiat seni dan warga media yang pernah menemu bual pelantun lagu Tanya Sama Itu Hud Hud itu.
Tidak kurang juga pendakwah yang sudah mula mengikut arus semasa menyampai dakwah menerusi platform digital seperti TikTok, Facebook, Twitter dan YouTube.
Misalnya Datuk Mohd Kazim Elias yang kini mempunyai 1.3 juta pengikut di TikTok, begitu juga Ustaz Azhar Idrus dan Syamsul Debat turut mempunyai jutaan pengikut di media sosial.
Walaupun terdapat larangan untuk beberapa pendakwah terkenal di negara ini berceramah di negeri-negeri tertentu, namun usaha dakwah mereka tidak pernah terhenti dengan menggunakan kreativiti serta kecanggihan teknologi mengikut arus semasa.
Sewajarnya platform-platform media sosial ini ini tidak disekat, sebaliknya dibanjirkan dengan pelbagai kandungan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
* Saifullah Ahmad ialah Wartawan Sinar Harian Perak