Tiada pilihan kecuali emas Olimpik

Iklan
Laporan Sukan Sinar pada Khamis. - Gambar kecil: Pekan

CABARAN dilontarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kontinjen Malaysia membawa pulang pingat emas pertama Sukan Olimpik pada temasya yang berlangsung di Paris, Perancis tahun depan negara sewajarnya diberikan perhatian serius semua pihak yang terlibat.

Malah pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menegaskan kontinjen Malaysia tidak boleh lagi memikirkan mengenai pingat perak atau gangsa sebaliknya fokus kepada merealisasikan misi negara tersebut.

Iklan
Iklan

"Perhatian lebih berat perlu diberikan kontinjen negara pada kali ini selepas beberapa percubaan sebelum ini gagal menghasilkan keputusan yang positif.

"Kita tidak perlu memikirkan bagaimana mahu meraih pingat perak atau pingat gangsa, kerana sasaran itu telah pun dicapai dalam edisi 2008, 2012, 2016 dan 2020," katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Iklan

Namun di sebalik cabaran pemimpin nombor satu negara itu, Pekan juga menimbulkan persoalan atlet yang bakal menggalas tugasan merealisasikan misi penting pada temasya sukan terbesar dunia di ibu kota Perancis tersebut.

Tegasnya lagi, kitaran sasaran pingat emas pertama Sukan Olimpik negara masih bergantung harap kepada tiga sukan badminton, berbasikal dan terjun yang dilihat semakin tidak praktikal.

Iklan

"Apakah kita masih mahu bergantung harap kepada atlet dari edisi 2008 seperti Datuk Mohd Azizulhasni Awang, yang meraih pingat perak semasa di Tokyo 2020 sebelum ini?

"Ya, kita puji komitmen dan semangat juang tinggi Azizulhasni, yang menyatakan komitmen memberikan aksi sehabis baik di Paris 2024 nanti.

"Namun tidakah terfikir dek kita terlalu meletakkan bebanan di bahu Azizulhasni yang sedang bergelut untuk kembali berada pada prestasi terbaiknya," katanya.

Pada masa sama, Pekan menegaskan kitaran untuk atlet senior tiga sukan tersebut kian menghampiri penghujungnya, malah lebih malang Malaysia masih belum menemui pelapis untuk menggalas cabaran di Paris.

"Sukan terjun pula, apakah kita masih meletakkan sandaran kepada ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong atau Nur Dhabitah Sabri, kebanyakan penerjun sudah berada di penghujung kerjaya kalau nak dibandingkan penerjun belasan tahun dari China.

"Satu lagi persoalan dalam tempoh setahun ini apakah kita sudah memiliki atlet yang benar-benar bersedia dan boleh kita pertaruhkan sandaran biarpun kita sudah mengerakan program Gold Paris 2024?

"Secara peribadi saya berharap pemburuan pingat emas ini juga lebih praktikal kita fokuskan kepada projek 'mesti capai' untuk kitaran tiga Sukan Olimpik lagi, tidak hanya untuk Paris 2024, tetapi juga Los Angeles 2028 dan Brisbane 2032," katanya.

Mengenai Bajet 2023 untuk sukan, Pekan berharap kerajaan tidak mengurangkan peruntukan bagi memastikan perancangan misi meraih kejayaan di Paris 2024 tidak terjejas.

"Sebaliknya saya harap kerajaan dapat memberikan bajet khusus untuk Paris 2024 untuk misi bawa pulang emas pertama dari Sukan Olimpik.

"Saya juga sangat menyokong tambahan bajet kepada program emas Olimpik ini sehingga Brisbane 2032 tetapi dengan program jangka panjang yang khusus dan teratur biarpun dengan sasaran kepada para atlet baharu.

"Pada masa sama kerajaan juga dapat memberikan bajet kepada persatuan sukan kebangsaan menerusi pemantauan MSN (Majlis Sukan Negara) bagi membolehkan persatuan-persatuan ini menganjurkan kejohanan bertaraf liga untuk pembangunan pelapis baharu," katanya.

Untuk rekod, Bajet 2023 dijangka dibentang Anwar yang juga Menteri Kewangan pada 24 Februari ini.