MERAK Jalanan ucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan yang telah memperkenalkan program Menu Rahmah di 15,000 premis makanan di seluruh negara bermula Selasa lalu.
Alhamdulillah, dapatlah Merak Jalanan dan rakan-rakan yang bekerja ‘kais pagi makan pagi’ ini menikmati menu berkhasiat sambil berjimat. Sebelum ini sekali makan tengah hari memang habis paling kurang RM10.
Dengan Menu Rahmah, hanya berbekalkan RM5, kita boleh dapat nasi, sayur dan lauk protein (ayam atau ikan), siap air lagi! Baki RM5 lagi boleh digunakan untuk makan malam pula.
Walaupun inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu khusus untuk menyantuni golongan miskin tegar, berpendapatan rendah dan mahasiswa universiti kurang berkemampuan, namun ia juga terbuka kepada semua golongan.
Apa yang menarik, selain 15,000 premis terlibat, KPDN juga menggalakkan semua peniaga makanan yang prihatin untuk turut sama menyediakan Menu Rahmah atas inisiatif sendiri. Maknanya, selain nasi dan lauk-pauk, peniaga boleh menjual mi goreng, kuetiau goreng, rojak dan pelbagai makanan bersesuaian.
Namun, pada masa sama peniaga kenalah ingat, apabila dah turunkan harga RM5, janganlah masak cincai sahaja dan asalkan boleh.
Ayam dan ikan janganlah dipotong-potong kecil dan sayur pula ibarat tiada rasa. Bertepatan dengan konsep rahmah (belas kasihan), maka perlulah menyediakan makanan dengan penuh rahmah juga.
Semoga usaha semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Menu Rahmah diberkati dan kita terus hidup dalam harmoni.