STIGMA orang ramai bahawa pengambilan air dalam kuantiti yang banyak adalah lebih baik untuk badan. Itu tidak tepat ya!
Anda harus tahu bahawa pengambilan air secara berlebihan daripada keperluan badan juga boleh mendatangkan risiko. Ia berupaya meningkatkan jumlah isipadu darah anda.
Darah di dalam badan adalah terdiri daripada sistem peredaran darah yang tertutup. Sekiranya isipadu darah meningkat di dalam badan, ia akan membebankan jantung dan salur darah anda.
Buah pinggang pula perlu bekerja ‘lebih masa’ untuk menapis air yang berlebihan keluar dari sistem peredaran darah dalam badan anda.
Berapa jumlah air yang optimum untuk kesihatan yang baik?
Ia bergantung kepada keadaan sama ada anda dalam proses diet harian, bersenam dan juga persekitaran.
Apa yang anda benar-benar perlukan adalah cecair yang cukup untuk menggantikan apa yang hilang setiap hari sama ada dalam bentuk peluh, urine, pernafasan, dan proses tubuh yang lain.
Itu semua memerlukan 8 hingga 10 gelas setiap hari.
Jika anda banyak menikmati makanan yang mengandungi jumlah air yang tinggi seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan serat penuh yang mana terdapat kira-kira 4 cawan cecair, anda perlu menambah sekurang-kurangnya 4 hingga 6 gelas lagi air.